Kos pengurusan sampah meningkat sekali ganda

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan mengurus perkhidmatan kebersihan dan pelupusan sampah turut terjejas ekoran kenaikan harga diesel 10 Jun lepas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kenaikan harga diesel menjejaskan usaha PBT memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerja-kerja menyelenggara kebersihan PBT tidak berasaskan keuntungan tetapi untuk kesejahteraan awam dan masyarakat,” katanya pada Program Jelajah PBT ke Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) di sini semalam. (Foto atas)

Pada 10 Jun lepas kerajaan Madani mengumumkan kenaikan harga diesel secara mendadak iaitu RM1.20 seliter sehingga mengundang kenaikan harga barangan.

Hilmi berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan kepada PBT dalam usaha menjayakan agenda Kelantanku Bersih sehingga sekali ganda naik berbanding sebelum ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri merangka pelan strategik untuk memastikan semua tempat pelupusan sampah di negeri itu diselenggara menggunakan kaedah terkini bagi memastikan hayatnya lebih lama.

Katanya tapak pelupusan sampah di Kelantan dijangka mampu bertahan sehingga 30 tahun.

Bagaimanapun beliau berkata, jangkaan itu dibuat sekiranya kaedah pengelenggaraan sisa berkenaan diuruskan dengan baik.

“Melalui kaedah terkini imbuhan akan diberi kepada PBT melalui kaedah ‘waste to wealth (buangan kepada imbuhan) yang dimulakan di tapak pelupusan di Beris Lalang, Tumpat dan Tanah Merah.

“Sekarang PBT di Ketereh, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh berkongsi tapak pelupusan sampah di Beris Lalang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -