KERJA: Tawaran PN untuk warga DUN Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: PERIKATAN NASIONAL (PN) menawarkan KERJA sebagai Manifesto atau Tawaran Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 20 DUN Sungai Bakap, kali ini.

- Advertisement -

KERJA merupakan akronim yang membawa makna kesejahteraan rakyat melalui khidmat ADUN meliputi ekonomi, kebajikan, menangani isu rakyat dan lain-lain berkaitan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, KERJA yang ditawarkan PN merupakan akronim yang lebih berintegriti berbanding PADU dikemukakan oleh Kerajaan Madani.

“Tawaran ini merupakan tawaran kerja integriti yang disaksikan Allah serta membawa implikasi positif kepada rakyat tanpa batasan kaum,” jelasnya pada sidang media di Bilik Operasi (BO) Induk PN, PRK N20 DUN Sungai Bakap, di sini hari ini.

Kerja jelasnya, diambil berdasarkan perintah Allah dalam ayat 105 surah at-Taubah di mana perkataan KERJA secara pecahan akronim membawa maksud tersendiri iaitu ‘K’ bererti khidmat kepada masyarakat.

Khidmat kepada masyarakat jelasnya, bukan sahaja menyediakan dua pusat khidmat masyarakat berbentuk kekal dan bergerak yang bermatlamat memudahkan penduduk mendapatkan bantuan.

Malah jelasnya, khidmat kepada masyarakat juga memberi fokus menggerakkan pertubuhan sukarelawan untuk membantu kurang kemampuan, selain perkhidmatan bantuan kecemasan serta bencana yang lebih cepat dan efisien.

Tawaran manifesto PN juga terangnya, meletakkan ‘E’ sebagai tawaran ekonomi serta peluang pekerjaan sama ada melalui latihan usahawan, bantuan kewangan serta merancakkan ekonomi setempat melalui produk pelancongan dan lain-lain.

PN Pulau Pinang juga tidak lupa menyasarkan ‘R’ yang difokuskan kepada rangkaian infrastruktur terutama berkaitan perbekalan air serta bertekad berusaha menyelesaikan isu berkenaan yang hampir enam tahun membelenggu penduduk DUN Sungai Bakap.

Selain itu turut memberi perhatian kepada penyelenggaraan jalan raya melalui kerjasama agensi berkaitan dan menambah baik kemudahan awam seperti pasar, taman rekreasi, dewan orang ramai dan lain-lain.

Nyata Ustaz Fauzi, masalah rakyat juga antara yang menjadi perhatian PN dengan meletakkan pada manifesto tersebut ‘J’ sebagai mewakili jaminan mengutamakan rakyat.

“Sekiranya mandat PRK ini diberikan kepada calon PN, Abang Abidin, jaminan suara rakyat akan diangkat ke sidang DUN Pulau Pinang selain polisi-polisi yang membebankan rakyat akan ditentang.

“Tawaran ini juga menyasarkan komitmen calon PN mempertahankan hak rakyat serta kepentingan semua kaum khususnya di DUN Sungai Bakap,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang.

Tegasnya, walaupun kemenangan calon PN pada PRK ini tidak akan menjejaskan kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Pulau Pinang, namun amanah dan integriti akan terus diperjuangkan agar pembangunan kerajaan bebas daripada unsur rasuah serta salah guna kuasa.

Melalui huruf terakhir iaitu ‘A’ iaitu amanah dan integriti, pemantauan projek, pengurusan berhemah dan laporan atau feedback kepada rakyat berkenaan tanggungjawab serta amanah akan sentiasa dikemaskini melalui medium bersesuaian untuk dinilai penduduk DUN Sungai Bakap.- HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -