Guna ‘windfall levi’ untuk tanam semula sawit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk menggunakan ‘windfall levi’ (levi keuntungan luar biasa) yang dikutip daripada pengeluar sawit bagi digunakan untuk menampung kos penanaman semula.

Bakri Jamaluddin (PN Tangga Batu), berkata, ia bagi mengatasi isu jumlah pokok sawit tua yang semakin meningkat yang menyebabkan jumlah keluaran sehektar yang semakin menyusut.

- Advertisement -

Menurut beliau, kosnya yang mahal menjadi salah satu sebab program penanaman semula menjadi perlahan di negara ini.

“Industri ini berhadapan dengan banyak cukai sebenarnya. Bayar cukai tanah, bayar cukai eksport dan sebagainya. Kemudian MOF  memperkenalkan cukai windfall levi.

“Kenapa tidak windfall levi dikembalikan kepada industri, supaya kita boleh mempercepatkan proses penanaman semula supaya kita boleh meningkatkan kita punya produktiviti itu dengan lebih cepat,” katanya. 

Tambah beliau, hanya dengan program penanaman semula dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran sawit memandangkan pembukaan kawasan baharu tidak dibenarkan mengikut demi menjaga alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi ‘Soalan Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, katanya, sawit juga menghasilkan banyak nutrien yang baik untuk kesihatan seperti vitamin E tokoferol dan tokotrienol, namun ia masih belum dapat dibuktikan secara klinikal kerana penyelidikan seperti itu melibatkan kos yang tinggi. 

“Jadi, saya minta kalau boleh Menteri lobi kepada Kementerian Kewangan supaya turunkan windfall levi itu kepada industri supaya boleh kita mempertingkatkan dan kita boleh meyakinkan (melalui) research (penyelidikan) ini. Kita boleh meyakinkan dunia bahawa sawit ini baik,” hujahnya.

Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya mengakui bahawa masalah program penanaman semula yang perlahan menjadi salah satu punca merosotnya produktiviti sawit negara.

Beliau menjelaskan, daripada 5.7 juta hektar ladang sawit di negara ini, 4.2 juta hektar dikendalikan oleh syarikat swasta, manakala 1.5 juta dikendalikan pekebun kecil yang kebanyakannya tidak mampu untuk melakukan penanaman semula. 

“Kalau kita punya standard penanaman semula, kalau ikut kelapa sawit ini tiap-tiap tahun kita kena buat penanaman semula dalam empat ke lima peratus.

“Tetapi dalam konteks pekebun kecil ini, ia di bawah 1.8 peratus. Sebab itu lama-lama lama pokok ni tidak boleh menghasilkan buah,” ujarnya.

Beliau bersetuju dengan pandangan Bakri tentang perkara itu, malah menganggap cukai tersebut sudah tidak praktikal memandangkan kos pengeluaran sawit yang semakin meningkat.

“Kita akan bawa kepada Kementerian Kewangan insya-Allah, (pembentangan) bajet akan datang saya suruh kita punya kementerian dan bekerjasama dengan MPOB untuk olah balik pasal soal access levi tax (capaian cukai levi) ini.

“(Ia adalah) Supaya kita dapat pastikan bahawa setiap duit yang kita kutip ni kita pulang balik kepada mereka yang buat penanaman semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -