Apa kata anak muda mengenai PN, Abang Abidin

Amirul Asyraf, Viknes, Pavithran
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: “Walaupun dua-dua calon Pilihan Raya Kecil untuk DUN Sungai Bakap ini ada kelebihan dan kekuatan masing-masing, tetapi saya lebih memilih calon PERIKATAN NASIONAL (PN),” kata M Viknes.

- Advertisement -

Anak muda bukan-Melayu, berketurunan India itu mengaku demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada satu program di Unit Daerah Mengundi (UDM) di Puteri Gunong, di sini malam tadi.

Kata beliau, walaupun tidak menafikan hakikat hatinya pernah tertarik kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi kali ini jiwanya lebih tertambat kepada PN.

“Calon PN (Abidin Ismail), saya tengok sangat rajin. Jumpa ramai orang tak kira bangsa. Mesra dengan semua kaum. Saya rasa dia boleh ganti Abang Zam (Nor Zamri Latiff), ADUN Sungai Bakap sebelum ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Viknes, 25, yakin akan ada perubahan dalam kalangan pengundi bukan-Melayu pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap kali ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu katanya, orang bukan-Melayu lebih cenderung memilih PH, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang bebas membuat pilihan, tidak salah untuk kaum berkenaan mengubah sokongan kepada PN pula.

Seorang lagi anak muda bukan-Melayu juga dari kaum India yang sempat ditemui Harakahdaily adalah M.Pavithran, 23, dari Taman Puteri Gunung.

Katanya, beliau dan keluarganya akan membuat perubahan pada PRK kali ini kerana hilang keyakinan terhadap PH yang sering berjanji tapi tidak laksanakan.

“Dahulu PH janji nak turunkan harga barang dan lain-lain tapi realiti semua orang tahu, harga barang semakin meningkat dan mahal tetapi gaji tidak juga naik-naik,” keluh beliau yang bekerja sebagai operator pengeluaran di salah sebuah industri berhampiran.

Dalam masa yang sama, beliau yakin PN akan mengekalkan kemenangan pada PRK kali ini kerana calonnya iaitu Abang Abidin dilihat mampu membela nasib rakyat DUN Sungai Bakap.

Bagi Mohd Amirul Ashraf Abdul Rahman, 19, beliau lebih cenderung tanpa belah bagi kepada calon PN dan sebagai lepasan sekolah agama, yakin pemimpin yang memahami Islam, mampu memimpin rakyat bawahan dengan lebih baik lagi.

“Walaupun saya kenal Abang Abidin ini hanya melalui poster dan media sosial dan belum dapat berjumpa secara berhadapan, namun saya yakin beliau merupakan pilihan terbaik,” ujarnya.

Ashraf juga yakin dengan penampilan dan cara Abang Abidin mendekati masyarakat, calon itu boleh bersama-sama anak-anak muda seperti Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -