Ahmad Burhan juara Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK 2024

Tengku Farok Hussin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada Ahmad Burhan (dua dari kiri).
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penolong Pegawai Undang-Undang Majlis Daerah Besut, Ahmad Burhan Sadqi A Rahim muncul juara Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan (SUK) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Membawa tajuk, Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati Burhan berjaya mengatasi sembilan peserta lain untuk memenangi wang tunai RM2,000 dan piala iringan yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

- Advertisement -

Membawa tajuk, ‘Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati’ Burhan berjaya mengatasi sembilan peserta lain untuk memenangi wang tunai RM2,000 dan piala iringan.

Terdahulu, Burhan, 40, pernah mengikuti tiga kali dalam pertandingan pengucapan awam iaitu Pidato Rukun Negara 2020, Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2020 dan Pidato Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021.

Menurutnya, medan pertandingan pidato merupakan platform penting untuk menyebarkan ilmu kepada pendengar.

Justeru, kata Burhan, dia akan mengkaji terlebih dahulu bahan yang diperlukan sebelum menerjemahkannya di dalam tulisan sekali gus pidato.

“Ada beberapa perkara yang kita pentingkan terutamanya bila bercakap tentang tadbir urus. Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) adalah institusi yang sentiasa memainkan peranan.

“Jadi dalam teks pidato kita memberi penekanan berkenaan dengan tadbir urus rabani dalam dasar integriti Darul iman iaitu melalui tujuh teras utama.

“Jadi, sebagai saranan Yang Berhormat Mulia Tengku, kita semua penjawat awam negeri terutamanya perlu dalami apa yang ada pada tujuh teras itu,” katanya.

Burhan juga tidak melepaskan peluang mengucapkan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, guru-guru dan sahabat pidato.

“Terima kasih semua pihak terutamanya kepada pihak penganjur antaranya yang mengadakan aktiviti yang cukup bermanfaat ini,” katanya.

Dia juga berhasrat untuk terus menyebarkan dakwah dan ilmu pengucapan awam kepada mereka yang berminat. 

Dalam pada itu, kata Burhan, sekiranya diberikan kesempatan untuk menyertai pertandingan pidato beliau tidak akan melepaskan peluang tersebut.

“Keinginan untuk menyertai pertandingan yang lebih besar wujud kerana setiap pentas memberikan peluang untuk mempelajari ilmu baru,” ujarnya.

Sementara itu, pemenang tempat kedua pula menjadi milik guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman Permaisuri, Muhammad Sollehin Mohd Shah, 29, manakala Guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Dungun, Mohd Syafiq A Ghani, 33, di tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua dan ketiga itu masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan RM700 serta piala iringan. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -