Ustaz Abdul Karim: Tokoh Ulamak PAS Pahang

- Advertisement -

JERANTUT: Dewan Ulamak PAS Pahang telah memilih Ustaz Abdul Karim Nor sebagai Tokoh Ulamak PAS Pahang sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang Kali Ke-34 di KIAS Temin, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Penyampaian anugerah kepada bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Dato’ Mahfudz.

Ustaz Karim yang dilahirkan pada 6 Mei 1954 di Kampung Keledek, Kuala Lipis, mendapat pendidikan awal peringkat rendah dari tahun 1961 hingga 1966 sebelum menyambung di peringkat menengah rendah dari tahun 1967 hingga 1973

Beliau seterusnya menyambung pengajian di Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan pada tahun 1974 dan Kolej Islam Klang pada 1975, sebelum pada tahun 1976 menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam kerjaya, Ustaz Abdul Karim pernah berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Khairiah Temerloh, SMA Simpang Pelangai Bentong, SMA Rompin, Kulliyatul Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar Pekan dan bersara pada 2012 di SMA Al-Ma’idatud-Diniah Padang Tengku.

Atas jasa dan khidmat baktinya dalam bidang pendidikan, beliau pernah mendapat Anugerah Guru Cemerlang STAM 2005 dan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Pahang pada 2007.

Pada 2008, beliau mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang menganugerahkan pingat Ahli Mahkota Pahang (A.M.P).

Kebersamaan tokoh ini dengan perjuangan PAS bermula menjadi ahli PAS di Cawangan Bandar Baru Pekan pada Februari 1997 di mana beliau diberi kepercayaan sebagai Naib Ketua Cawangan dari tahun 1997 hingga 2009.

Dari tahun 2001 hingga 2009, beliau diamanahkan sebagai Ketua Urusan Ulamak Kawasan Pekan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Negeri Pahang.

Setelah berpindah ke Kawasan Cameron Highland, Ustaz Karim diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Urusan Ulamak Kawasan Cameron Highlands (2009-2011) dan seterusnya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands dari tahun 2011 hingga 2023.

Beliau turut diberi kepercayaan mewakili PAS sebagai calon dalam dalam PRU tahun 2013 dan 2018 di kawasan Dewan Undangan Negeri N.02 Jelai.

Hasil perkongsian hidup bersama al-marhumah Ustazah Selamah Mat Asit dan Ustazah Salmiah Mohammed, mereka dianugerahkan 5 cahaya mata dan 7 cucu.

Isteri pertama dinikahinya pada 1979 dan meninggal dunia pada 2007, manakala isteri kedua dikahwini pada 2008 dan kekal hidup bersama hingga ke hari ini dan Ustazah Salmiah sekarang memegang jawatan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kawasan Cameron Highland.

Kini dalam usia yang sudah menjengah 70-an, Ustaz Karim masih aktif dalam kegiatan dakwah dan kerja-kerja jamaah. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -