Terengganu paling strategik untuk industri CCUS

Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terengganu merupakan negeri yang paling strategik bagi perlaksanaan projek Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture Utilization Storage atau CCUS).

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN Kemaman) berkata, perkara itu disebabkan oleh kewujudan Kompleks Petroleum di negeri itu yang mempunyai kaitan dengan projek tersebut.

- Advertisement -

“CCUS yang merupakan salah satu potensi yang besar yang perlu untuk direncanakan dengan penuh teliti untuk memajukan industri ini.

“Negeri Terengganu adalah merupakan salah sebuah negeri yang paling strategik untuk untuk menjadi pelopor bagi industri CCUS ini di Kompleks Petroleum yang sedia ada di Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal beliau kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan tambahannya, beliau meminta agar Menteri menjelaskan status terkini rangka kerja peraturan dan undang-undang berkaitan CCUS yang sebelum ini pernah dibincangkan.

“Bagaimana pula Terengganu boleh memainkan peranan dalam pembangunan industri ini termasuklah untuk memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mereka juga turut beroleh manfaat ekonomi dalam membekalkan kandungan tempatan menyokong rantaian nilai dan eksport?” soal beliau.

Dalam soalan asalnya, Samsuri meminta Menteri MITI menjelaskan sejauh mana ‘Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030’ berjaya melaksanakan empat misi yang ditetapkan sejak ia dilancarakan hampir setahun yang lalu (Julai 2023) iaitu dalam memajukan ekonomi, meningkatkan produktiviti, menangani perubahan iklim serta menjamin keselamatan rantaian bekalan.

Sementara itu, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong dalam jawapannya berkata, akta berkaitan CCUS iaitu ‘Akta Pemerangkapan Penggunaan dan Penyimpanan Karbon’ akan digubal oleh Kementerian Ekonomi dan dijangka dibentang dalam Parlimen pada penghujung tahun ini.

Katanya, dalam penggubalan akta itu, MITI terlibat di dalam kumpulan kerja untuk memastikan pembangunan industri dan pelaburan dan juga teknologi.

“Yang kedua, Petronas di Kerteh memang telah dilantik oleh MITI sebagai salah satu ‘mision base champion‘ dalam sektor CCUS dan ini juga telah dilakukan dan akan membawa manfaat kepada Terengganu dan juga seluruh negara.

“Yang ketiga. saya rasa memang Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri boleh memastikan dari segi tanah; dari segi perlesenan dan dari segi infrastruktur boleh disediakan supaya kita dapat memastikan apabila akta telah diterima oleh Parlimen kita boleh laksanakan projek-projek CCUS di Terengganu secepat mungkin,” kata Liew. – HARAKAHDAILY 1/7/2024