PRK DUN Nenggiri: ‘Beri peluang calon PAS bertanding’

Mohd Habidin Hanipa
- Advertisement -

GUA MUSANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang mencadangkan agar calon PAS diberi peluang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang, Mohd Habidin Hanipa berkata dalam satu kenyataan, pada hari ini, di atas kesungguhan jentera PAS yang ada di Nenggiri dengan kekuatan PAS peringkat DUN, Unit Daerah Mengundi (UDM) dan Dewan-Dewan yang tidak boleh dinafikan, sudah tiba masanya calon daripada PAS diketengahkan.

- Advertisement -

“Dewan Pemuda PAS Kawasan juga bersedia mencadangkan calon yang sesuai, dan sememangnya PAS mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk diletakkan dalam PRK DUN Nenggiri.

“Pastinya Pemuda PAS Kawasan bersedia dengan 100 peratus komitmen menghadapi PRK DUN Nenggiri dengan syarat calon PAS diberikan peluang bertanding,” katanya.

Terdahulu, pada 28 Jun lepas, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan  tarikh 17 Ogos depan sebagai tarikh PRK DUN Nenggiri.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -