Para ulama diseru bergabung dengan Jamaah Islam

- Advertisement -

JERANTUT: Para ulamak dan cendekiawan Islam diseru supaya menggabungkan diri bersama jamaah Islam dan tidak hanya bergerak solo dalam mendepani cabaran ummah yang mendatang.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud mengungkapkan demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pahang Ke-34, KUIS Temin di sini kelmarin.

Menurutnya, di samping intima’ diri di dalam PAS, mereka tidak seharusnya memusuhi jamaah-jamaah Islam lain, bahkan sewajarnya menjalinkan hubungan, meningkatkan kerjasama dan membina jaringan ukhuwwah bersama.

Para ulamak nasihatnya, perlu berhati-hati dengan ujian dan cabaran musuh yang cuba memecah-belahkan kesatuan umat Islam dan untuk itu pendekatan mesra, menerang dan menarik perlu diusahakan oleh golongan ulamak.

Dalam masa sama Ustaz Zuridan menyeru semua pihak dalam Dewan Ulamak PAS Pahang agar meningkatkan kualiti Ijtimak Tarbawi bulanan yang merupakan produk istimewa PAS Pahang yang diadakan secara bulanan di setiap kawasan.

Kata beliau, dalam menghadapi pilihan raya, Dewan Ulamak PAS khususnya di peringkat kawasan hendaklah fokus kepada kerja-kerja berkaitan khususnya dalam usaha mendapatkan kemenangan dalam PRU16.

“Kemenangan ini sangat perlu bagi membaik pulih kerosakan yang dilakukan oleh golongan yang menguasai pemerintahan pada hari ini. Sasaran mempertahankan 17 kerusi sedia ada dan menambah tujuh lagi kerusi perlulah diusahakan dengan gigih,” ujarnya.

Ustaz Zuridan yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak mengarahkan anggota Dewan Ulamak supaya memperkemaskan organisasi masing-masing dan mengatur gerak kerja yang optimum. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -