PUTRAJAYA: “Kerajaan sekali lagi melakukan intimidasi dengan menggunakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam cubaan untuk menghalang rakyat bersuara.”
Seorang pempengaruh media sosial, Aidil Yunus (atau YB Viral) berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana memberikan layanan yang profesional dan baik.
“Kami telah memberikan kerjasama dengan amat penuh sekali kerana tiada apa-apa benda pun untuk disembunyikan.
“Lagipun kami berjuang untuk menyuarakan rintihan rakyat semata-mata yang majoritinya jelas telah terbeban dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya dalam sidang media berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah artis terkenal 80-an, Dayangku Intan; Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid; aktivis Siti Zulaika Olivia; pempengaruh media sosial Nurpais Ismail (Papa Berry), aktivis Michelle Foo dan ahli politik bebas, Alex Shee Chee Weng.
Menurut YB Viral, beliau yang juga merupakan penganjur himpunan Rakyat Lawan Anwar Round 1, surat pemberitahuan mengenai perhimpunan tersebut telah pun dihantar kepada pihak polis pada 14 Jun yang lalu yang sememangnya mengikut Akta Seksyen 14 Perhimpunan Aman.
Tambah beliau, dalam akta tersebut ada menyatakan bahawa sekiranya surat tersebut tidak mendapat maklum balas oleh pihak polis maka perhimpunan tersebut masih boleh diteruskan.
“Saya tidak menerima apa-apa maklum balas sehingga pada 20 Jun 2024 yang mana saya dipanggil ke IPD pun masih tidak ada maklum balas bertulis.
“Malah pada 24 Jun 2024 pun saya tidak menerima maklum balas bertulis mengenai perkara tersebut dan jelas saya mengikut undang-undang.
“Namun begitu kerajaan harus sedar yang daripada asyik membuat intimidasi sebegini, adalah lebih baik melihat keadaan polis yang sedang bergelut dengan kewangan.
“Boleh lihat sendiri keadaan mereka di mana-mana IPD yang mana pihak polis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli barangan seperti pencetak, dakwat pencetak dan seumpamanya.
“Bagi saya, lebih baik kerajaan perlu juga melihat kebajikan pihak polis yang telah banyak bertanggungjawab menjaga keselamatan negara kita ini,” tegasnya.
Terdahulu, satu himpunan Rakyat Lawan Anwar Round 1 diadakan di sekitar kawasan Kompleks Seri Perdana pada 29 Jun 2024 yang lalu dari jam 4 petang hingga 7 malam.
Seramai lebih daripada 150 orang yang telah hadir dalam perhimpunan tersebut yang mana ianya hanya memperjuangkan kepentingan rakyat semata-mata melalui lapan tuntutan terhadap kerajaan.
Tuntutan tersebut ialah kerajaan perlu menurunkan kembali harga minyak diesel dan jangan menaikkan harga minyak RON95; mengembalikan bekalan beras tempatan tanpa kenaikan harga dan membela nasib pesawah; mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar akibat Covid-19 dengan meluluskan kumpulan pencarum yang memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneruskan kehidupan.
Tuntutan seterusnya ialah kerajaan perlu tangani kenaikan kos sara hidup dengan segera dan telus serta menghentikan sebarang manipulasi data ekonomi; membela nasib kakitangan kesihatan awam dengan menaik taraf prasarana dan kualiti perkhidmatan, serta membatalkan pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan yang bakal menswastakan perkhidmatan kesihatan awam.
Tuntutan lain ialah kerajaan perlu berlaku adil kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang dengan peruntukan kewangan yang mencukupi supaya Ahli Parlimen boleh melaksanakan tugas mereka dengan efektif melalui pelaksanaan undang-undang peruntukan kewangan yang setara dan adil; dan perlu menghentikan cubaan untuk membisukan rakyat yang meluahkan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan; dan menghentikan polisi-polisi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menekan rakyat dan menjarah negara.
Dalam pada itu, Rafique pula menyatakan bahawa kerajaan pada ketika ini tidak lagi menunaikan janji beri kebebasan bersuara seperti mana yang dinyatakan dalam manifestonya ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Kata beliau, kebebasan bersuara bukan sahaja hanya melalui rakyat memberikan pendapat semata-mata tetapi juga selepas melalui demonstrasi secara aman.
“Jadi, apa yang dilakukan kerajaan pada hari ini terhadap kami semua adalah juga satu langkah intimidasi. Ini jelas menunjukkan kerajaan telah melakukan penipuan terhadap rakyat sendiri,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa perhimpunan tersebut hanya untuk kepentingan rakyat semata-mata dan bukan bersifat kempen politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) mana-mana negeri.
“Lagipun isu rakyat ini yang menjadi keutamaan kami semua tanpa mengira sebarang ideologi politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024