Kawal penggunaan racun terhadap ladang 

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) mempunyai peluang terbaik kepada Malaysia untuk meneroka pasaran ke luar negara.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta penjelasan sejauh mana kerajaan mengambil kesempatan penyertaan dalam perjanjian ini untuk mencari pasaran selain daripada China.

- Advertisement -

“Oleh kerana saya lihat pasaran yang terdiri dari Thailand, Vietnam dan Malaysia hanya fokus kepada China, sekarang ini. Kalau apa-apa berlaku dengan hubungan dagangan China tidak ada masalah.. kita akan berdepan dengan lambakan durian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS turut mempersoalkan isu peningkatan penggunaan racun serangga dalam ribuan hektar terhadap ladang yang meninggalkan kesan pada alam sekitar dan sungai di negara.

“Saya ingin dapatkan penjelasan apakah mekanisme kerajaan bagi mengawal penggunaan racun serangga yang meningkat sehingga mendadak ini untuk memastikan alam sekitar dan sungai-sungai kita terjamin,” hujahnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapannya berkata, soal isu hubungan dagangan kepada China kerana rakyat di sana gemar untuk memakan durian.

“Negara Arab belum makan durian lagi bahkan mereka bau durian pun tak berapa boleh. Begitu juga Eropah walaupun mereka ada kedutaan di sini yang memakan durian, tetapi secara umumnya mereka belum mahu makan durian.

“(Negara) China makan durian secara besar-besaran kerana mereka ada ratusan juta rakyat yang mampu berbelanja, sebab itu kalau nak dihantar ke negeri lain ada pasaran tetapi tidak seperti di China.

“Walau bagaimanapun, kerajaan akan berusaha untuk memasarkan barangan yang mereka memerlukan di seluruh dunia sebagai contoh ikan, manakala nanas banyak negara yang mohon tetapi kita tidak dapat menyediakan yang secukupnya di peringkat antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -