Isu KKP: Majikan perlu tingkatkan keprihatinan

Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keprihatinan majikan terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu ditingkatkan meskipun berhadapan dengan kekangan kakitangan yang terhad pada ketika ini.

Dato’ Awang Hashim (PN-Pendang) berkata bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan juga diminta menggunakan perkhidmatan konsultan luar bertauliah bagi melaksanakan pemantau dan pemeriksaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran di Jalan Genting Highland, Pahang yang meragut nyawa dua pelancong warganegara China semalam berulang kembali.

“Adakah tugas pemantauan dan pemeriksaan boleh diberikan kepada syarikat luar yang bertauliah atau pemeriksa swasta kerana kita sering diberi alasan dengan tidak cukup kakitangan bertugas?

“Ini cadangan kita supaya isu keselamatan ini tidak berlaku dan ia mencemarkan imej negara sepertimana dilaporkan dengan kemalangan yang berlaku di Genting Highland baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai kelompangan pemantauan kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Awang turut menyambut baik pendekatan yang dilakukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan KKP dalam kalangan majikan di negara ini termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Bagaimanapun beliau berkata, tragedi berlaku di Genting Highland baru-baru ini membuktikan masih wujud kelompongan dalam aspek pemantauan yang perlu diberi perhatian dan ditambahbaik oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pihaknya melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa melaksanakan tindakan yang proaktif. 

Beliau berkata, usaha tersebut dibuat secara berterusan seiring penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 yang dikuatkuasakan pada bulan Jun tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

T

- Advertisement -