Gajah ganggu penduduk Kg Pok Sid berjaya ditangkap

- Advertisement -

BESUT: Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap gajah yang menganggu ketenteraman dan merosakkan kebun penduduk di sekitar Kampung Pok Sid Hulu Besut, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah berkenaan berjaya ditangkap lebih kurang pada pukul 9 pagi tadi, di kebun sawit dan kelapa di kampung berkenaan.

- Advertisement -

“Tahniah dan terima kasih Team Perhilitan yang bekerja keras menyelesaikan aduan penduduk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, di sini, hari ini. 

Gajah jantan dengan anggaran berat lebih kurang dua tan berusia sekitar 10 hingga 12 tahun itu diuruskan dengan kekuatan operasi seramai tujuh orang anggota perhilitan.

Azman berkata, proses pemindahan mamalia berkenaan ke habitat asalnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Proses pemindahan ke lokasi yang jauh dari konflik dengan manusia akan dilakukan sehari dua ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -