Fitnah: Rafizi perlu mohon maaf kepada Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (kanan) dan Rafizi Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli digesa memohon maaf mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kepada mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (DTITM) susulan fitnah yang dibuat berkenaan isu air di Sungai Bakap.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, permohonan maaf ini juga perlu dibuat atas kelemahan kerajaan PH-BN menjaga kebajikan penduduk Sungai Bakap.

“Tidak perlu bersusah-payah seleweng fakta kerana bangkai kalau busuk, tutup macam mana pun baunya akan tercium juga.

- Advertisement -

“Bersungguh-sungguh Rafizi Ramli seleweng fakta untuk tutup kelemahan Kerajaan PH-BN Pulau Pinang dalam masalah air Sungai Bakap.

“Rakyat Sungai Bakap sudah cerdik wahai Menteri Ekonomi. Pengurusan air di Sungai Bakap yang merupakan salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang adalah di bawah tanggungjawab Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, merujuk kepada laman sesawang PBAPP, Ahli Lembaga Pengarah PBAPP terdiri daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Exco Infrastruktur Pulau Pinang serta beberapa lagi nama yang merupakan ahli DAP, PKR serta Umno.

Zurk Ahmad

“(Parti)  yang memerintah Pulau Pinang sejak 2008 ialah DAP dan yang menjadi ADUN Sungai Bakap sejak 2008 adalah daripada  PKR.

“Bagaimana Rafizi boleh pejam mata dengan segala maklumat ini seterusnya meletakkan semua salah kepada Tuan Ibrahim?

“Tahukah Rafizi bahawa pemimpin PAS-Perikatan Nasional (PN) inilah yang memberi sinar buat penduduk Sungai Bakap?,” soal beliau.

Tambah Zurk, Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri pernah mengadakan pertemuan dengan Tuan Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Tuan Ibrahim sudah memaklumkan bahawa jalan keluar bagi isu air ini ada dan kerajaan Persekutuan sedia membantu tetapi malangnya kerajaan Pulau Pinang ego dan tidak mahu beri kerjasama.

“Bertahun-tahun masalah rakyat ini ditutup dan hanya ketika Allahyarham Nor Zamri Latiff (Abang Zamri) menjadi ADUN barulah isu air Sungai Bakap diberi perhatian untuk diselesaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!