‘Ada pihak cuba bawa naratif songsang’

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ada segelintir pihak yang cuba membawa naratif songsang iaitu memperjuangkan kebebasan beragama sehingga menghalalkan tindakan keluar agama Islam atau murtad.”

Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, golongan tersebut tanpa segan silu mendedahkan bagaimana mereka gagal memahami hikmah Islam yang melarang umatnya berbuat demikian.

- Advertisement -

Beliau berkata, hal tersebut harus diketepikan pengamalannya dalam negara kerana soal murtad telah jelas bukan sahaja tidak dibenarkan dalam agama bahkan Perlembagaan Persekutuan.

“Isu kebebasan agama ini masih menjadi topik perdebatan dikalangan rakyat, sepatutnya Islam menjadi pemandu arah hak asasi manusia, bukannya agama digunakan untuk kepentingan ini.

“Dalam konteks ini kebebasan beragama di Malaysia kita perlu jelas dalam perkara 11 kurungan satu perlembagaan persekutuan diberikan kebebasan untuk mengamalkan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, kebebasan yang diberikan oleh perlembagaan itu tidak bersifat mutlak kerana terlat perkara 11 kurungan empat.

Jelas beliau, perkara tersebut mengenai larangan penyebaran dakyah agama selain Islam kepada masyarakat beragama Islam di negara ini yang perlu difahami oleh semua pihak.

“Tambahan lagi sekatan ini berkait dengan perkara yang berhubung dengan keselamatan dan kesihatan awam perkara 11 kurungan lima, saya harapkan Suhakam dapat menilai perkara ini.

“Oleh itu, saya harap Suhakam dapat meletakkan kepentingan syariat dan perundangan negara sebagai tunjung dan teras yang kukuh dalam membahaskan kebebasan beragama,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -