Sokongan rakyat suntik kekuatan ‘Langkah Muar’

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengadakan Larian ‘Langkah Muar’ yang bermula dari Jambatan Muar, petang Khamis lalu dan berakhir di bangunan Parlimen, esok.

- Advertisement -

Larian solo sejauh hampir 200 kilometer (km) itu bertujuan menuntut hak Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang dinafikan peruntukan dan bagi mengutip dana bantuan rakyat untuk kawasannya, Parlimen Muar.

Mengakui berdepan cabaran fizikal dan mental bagi altiviti larian tersebut, beliau bagaimanapun menyifatkan sokongan dilahirkan orang ramai menjadi sumber motivasi dan kekuatannya mengatasi semua itu.

“Saya dah jumpa satu teknik dan strategi yang baru, iaitu apabila saya rasa macam nak ‘cramp’, tapi bila lihat orang hon, angkat tangan, beri makanan, hilang ‘cramp’ tu. Semalam banyak kali sampai pukul 10:30 malam kita lari hilang terus ‘cramp’.

“Sebab itulah semangat tu memang sangat-sangat luar biasa. Kerana apa? Kerana keperitan yang saya lalui tu sangat kecil jika nak dibandingkan dengan keperitan yang rakyat lalui. Saya perlu lakukan yang lebih baik untuk mereka,” ujarnya.

Bekas Presiden MUDA itu berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu ditemui di sebuah stesen minyak di Rembia, di sini, pagi semalam bagi menyambung program lariannya yang berakhir di situ pada Jumaat malam.

“Sejujurnya saya tak pernah lagi buat (larian) 200 kilometer. Dekat (daripada itu) pun tak pernah. Paling jauh saya pernah buat sebelum ni 52 km sahaja. Itu pun selepas saya buat 52 km saya berehat satu minggu.

“Ini ‘back to back’, empat hari kena buat ‘ultra marathon’ tanpa rehat (walau) satu hari, yang saya rasa amat yang amat mencabar, yang uji mental dan fizikal saya,” ujarnya yang telah menyudahkan 56 km larian setakat di Rembia, di sini.

Beliau menyimpulkan sokongan rakyat sebagai menunjukkan ‘ada satu tangan yang menarik ada banyak lagi tangan-tangan lain yang akan menghulur bantuan’ dan di situlah rakyat memainkan peranan sangat besar sekali.

“Alhamdulillah sokongan dan dorongan daripada rakyat itulah yang memberikan inspirasi kepada saya. Kerana sambil berlari di tepi jalan mereka sanggup tunggu, keluar rumah, keluar kereta berikan makanan, minuman, coklat.

“Malah ada beberapa orang pak cik yang berikan sumbangan tunai terus. Saya memang terhutang budilah pada mereka. Saya boleh laporkan pagi tadi saya check, dalam tempoh masa 24 jam kita telah pun berjaya meraih RM54,000 ke RM55,000.

“Masya-Allah saya memang terhutang budilah pada rakyat. Saya lihat ramai juga yang sekarang sedar bahawa kawasan pembangkang sepenggal dinafikan RM20 juta. Walhal Ahli Parlimen kerajaan diberikan RM20 juta tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -