Seramai 238 terima darjah kebesaran Sultan Kedah

Sempena Keputeraan Baginda Ke-82

- Advertisement -

ALOR SETAR: Seramai 238 individu menerima Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Kebesaran Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

- Advertisement -

Istiadat sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-82 itu telah berlangsung gilang gemilang di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.S.K.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat yang juga ADUN Sungai Limau dikurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S.) yang membawa gelaran Dato’.

Tuanku Sultan turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (S.S.P.K.) kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan.

Manakala Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (D.G.W.K.) yang membawa gelaran Dato’ Wira dianugerahkan kepada Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin.

Juga kepada Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan .

Majlis istiadat itu juga menyaksikan sembilan individu menerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.), empat menerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan (D.D.S.P.), sementara 13 orang menerima Dato’  Setia Diraja Kedah (S.D.K.).

Pengerusi Majlis Sekolah Pondok (HESA) Kedah, Tuan Guru Abdullah Lebai Samah antara sembilan penerima yang menerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) yang membawa kepada gelaran Dato’.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, melalui kenyataannya menyatakan, Baginda juga perkenan menyampaikan Penganugerahan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran lain.

Beliau yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat, Negeri Kedah memaklumkan iaiti Ahli Mahkota Kedah (A.M.K.) kepada 32 penerima, Ahli Setia Pahlawan (A.S.P.) kepada 11 penerima dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K.) kepada 15 penerima.

Termasuk Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.) kepada 52 penerima, Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K.) 20 penerima, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (P.C.K.) 35 penerima.

Manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) 19 orang penerima dan Pingat Perkhidmatan Lama (P.P.L.) kepada 20 orang penerima.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengetuai kerajaan dan rakyat jelata menyembah tahniah pada majlis itu. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -