TEMERLOH: ‘Pemuda PAS Pahang Pemangkin PAS Teraju Pahang’ merupakan tema yang dipilih untuk Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pahang kali ke-42, yang berlangsung di sini, hari ini.
Ketuanya, Ustaz Zarimi Abu Zih berkata, tema itu diangkat bagi memberi signal bersiap-siaga dan gesaan kepada pemuda untuk mempersiapkan segala kekuatan dengan kompetensi masing-masing.
Ia, ujarnya bagi merencana langkah kemenangan, menggerak muafakat dan perpaduan generasi muda dalam membentuk ketumbukan pemuda sebagai ‘catalyst’ (pemangkin) PAS Teraju Pahang.
“Muktamar ini juga adalah medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan menambah baik gerak kerja khususnya gerak kerja kepemudaan baik di peringkat cawangan, kawasan dan negeri,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama.
Pemuda PAS Pahang, ujarnya berazam mempersiap dan menyediakan anak muda memenuhi enam kualiti dan kriteria.
Pertama, katanya memantap dan memperkasa usrah kerana usrah merupakan tulang belakang kepada perjuangan di samping mampu membentuk fikrah dan disiplin amilin.
“Kedua, sentiasa melazimi majlis ilmu dan menyibukkan diri dengan ibadah, solat berjemaah di masjid, membaca Al Mathurat, membaca Al Quran dan qiam di malam hari.
“Kita sebagai pejuang tidak lari daripada sebarang mehnah dan tribulasi, dengan ilmu dan pergantungan kepada-Nya, insya-Allah ia menjadi bekalan asas kepada kita dalam menguruskan ujian,” ujarnya.
Empat lagi kriteria lain digariskan beliau adalah aspek pengukuhan organisasi, kelangsungan momentum gerak kerja pilihan raya, memperhebat gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan serta melebar luas jajaran pendidikan di bawah seliaan Pemuda seperti PASTI, SRITI dan SMITI.
Muktamar yang berlangsung di Dewan Maahad Al Istiqamah itu dirasmikan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, PAS Pahang telah memenangani 15 kerusi di mana dua daripadanya terdiri daripada calon Pemuda iaitu ADN Pulau Manis, Rafiq Khan dan ADN Sungai Lembing, Ayub Ashri. – HARAKAHDAILY 30/6/2024