Muslimat seiring peranan menangkan PAS di Johor

- Advertisement -

BATU PAHAT: Dewan Muslimat membawa peranan yang sama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak dalam membantu kemenangan PAS di negeri ini dalam pilihan raya yang bakal berlangsung pada masa akan datang.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan dalam usaha untuk mencapai matlamat kemenangan tersebut.

“Muslimat memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan, kesinambungan perjuangan Islam yang suci dan murni.

“Seiring dengan Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan seluruh saf pimpinan negeri dan kawasan-kawasan,” ujar beliau dalam ucapan di Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, di sini semalam.

Jelasnya, Badan Perhubungan PAS Negeri Johor akan terus menggerakkan ahli-ahli dan jentera di seluruh peringkat supaya dapat bersaing dengan pencapaian PAS negeri-negeri lain.

Tambah beliau, pihak PAS Negeri telah mengadakan permukiman dan sumbangsaran serta beberapa program lagi melibatkan pimpinan-pimpinan Negeri dan Kawasan dalam usaha menjana kemenangan.

Jelasnya, pihak PAS Negeri juga telah menjemput pimpinan PAS di negeri-negeri yang parti itu mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan-pilihan raya telah berlaku sebelum ini.

“Kita telah mengundang Yang Berhormat Andansura Rabu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang dan team daripada Pahang mengambil istifadah daripada pencapaian yang hebat di negeri Pahang.

“Begitu juga daripada Selangor. Kita telah memanggil mereka dengan dengan pengalaman daripada (hanya ada) satu kerusi Perikatan Nasional, (kini) mendapat 22 kerusi,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, PAS Negeri juga telahpun menjemput Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli atas pengalaman kemenangan PAS di negeri itu selain pimpinan parti bagi Negeri Perak dan Melaka.

“Menggambarkan PAS Johor bersiap sedia untuk mara ke depan seiring dengan kebangkitan dan kemenangan di negeri-negeri yang lain juga. Kita yakin dengan kerjasama yang mantap dengan peranan Dewan Muslimat.

“Yang bersungguh-sungguh untuk meninggikan kalimah Allah, untuk memenangkan Islam di bumi Johor ini. Insya-Allah kita akan dapat melihat perubahan-perubahan yang lebih baik lagi,” ujarnya.

Muktamar berlangsung di Dewan Kompleks PAS (KOMPAS) Batu Pahat itu telah dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Juga berucap di dalam majlis tersebut ialah Ketua Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin dengan turut dihadiri Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Abu Irfan Muhammad Al Urduni. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -