K’jaan perlu jamin pemilikan tanah penduduk asal

- Advertisement -

AMPANG: Kerajaan memerintah termasuk ahli-ahli politik mesti memiliki kesungguhan politik untuk menjamin pemilikan tanah oleh penduduk asal negara ini kerana ia hakikat sebenar kepada kedaulatan dan kekuasaan.

Aktivis rakyat, Zaharah Sulaiman mengingatkan mengenai data dan fakta semasa mengenai pemilikan tanah, ekuiti dan hasil mahsul negara ini yang terlalu sedikit menjadi pegangan penduduk asal iaitu orang Melayu dan Bumiputera.

Sedangkan menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan digubal dengan memperuntukkan untuk bahawa tanah negara ini adalah sepenuhnya hak dan kepunyaan penduduk asal tanpa boleh diganggu-gugat.

Beliau menegaskan perkara tersebut pada Perbincangan Meja Bulat Pembangunan Semula Bandar ‘Peluang dan Cabaran’ anjuran Pusat Sumber Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS.

Penyelidik Institut Ahli Arkeologi Malaysia itu berkata, namun kedatangan migran menyebabkan bukan sahaja banyak perkara dan hak negara telah dimajmukkan, tetapi tidak sedikit kepentingan penduduk asal yang berkurang dan semakin hilang.

“Kita dah terpaksa shared banyak dah dengan mereka. Di antaranya tanahlah. Di dalam Wasiat Raja-raja Melayu antaranya adalah 50 peratus tanah adalah hak peribumi. Tak boleh gabungkan, dijual beli atau dipajak gadai kepada bangsa lain.

“Tetapi yang kita ketahui, banyak Tanah Rizab Melayu telah pun tukar tangan kepada bangsa asing. Yang itu kalau mengikut undang-undang Kanun Rizab Melayu, kerajaan negeri boleh rampas. Tapi yang buat perkara ini selalunya kerajaan negerilah.

“Ini masalah besar. Actually kalau mengikut undang-undang, siapa-siapa yang kata locus standy kita boleh rampas balik tanah tu, without paid payment any conversation. Maknanya kita tidak akan hilang kita punya jumlah tanah tu.

“Hari ni, tak kira seorang itu apa parti pun kena desak buat RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) menuntut daripada kerajaan supaya betulkan keadaan ni. Kerana isu penyelesaian terhadap pelupusan Tanah Rizab Melayu ini tidak pernah diambil tindakan.

“Kita baca hari ni, tiap-tiap kerajaan negeri ada tanah ke nak memerintah? Ya kita memang alu-alukan pembangunan macam sekarang ni, pembangunan tanah pembangunan semula bandar. Tanah-tanah yang terbiar,” ujarnya.

Menurut beliau, telah banyak tanah apabila dimaju atau dibangunkan, pegangan hak itu terlepas ke pihak lain termasuk oleh kerajaan, apatah lagi penduduk asal sebagaimana berlaku di Kampung Sungai Chinchin dan Kampung Sri Makmur baru-baru ini.

Zaharah memberi peringatan mengenai pengambilalihan pegangan secara tidak wajar melibatkan kepentingan negara sebagaimana terjadi ke atas Boustead Plantation Bhd, termasuk juga Tabung Haji yang merupakan milik rakyat.

Beliau menegaskan, Tabung Haji bukan sahaja milik rakyat khususnya umat Islam, serta tidak mengalami kerugian, tetapi tiba-tiba peliknya kepentingan di dalam institusi ini hendak dijual dengan diurus oleh Menteri bukan-Islam.

Oleh itu tanah tegasnya, mesti dimiliki oleh penduduk asal agar tidak berulang nasib sebagaimana pernah berlaku di Palestin atau juga kaum Champa dan Siam di mana tanah mereka akhirnya diduduki dan dimiliki oleh bangsa Thai.

Turut disentuhnya adalah pembangunan yang banyak ‘mengusir keluar’ penduduk, misalnya projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) di mana jajarannya dibina di atas tanah-tanah penempatan dan estet orang Melayu dan tidak bangsa lain.

Zaharah juga mengajak membangkitkan kesedaran banyak pihak yang hanya nampak tanah secara zahir di atasnya sahaja, sedangkan nilai strategik, kedaulatan, kependudukan serta galian mungkin terdapat di bawahnya perlu diketahui.

Beliau menyarankan ditubuhkan Lembaga Amanah berkaitan untuk memantau dan menjaga kepentingan Tanah Rizab Melayu agar dibangunkan dengan memelihara kepentingan penduduk asal. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -