Kemenangan DUN Maharani pastikan ‘berjangkit’

- Advertisement -

BATU PAHAT: Dewan Muslimat PAS Johor (DMPNJ) diberi tanggungjawab untuk menjalankan usaha-usaha agar kemenangan di DUN Maharani dalam Parlimen Muar berjangkit ke seluruh negeri ini.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor berkata, kerana itu kerja keras harus dilakukan agar kemenangan di situ terus dipertahankan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

“Kita kena bantu supaya dengan kemenangan yang satu ini ia akan jadi nukleus yang besar, yang akan memberikan saham kemenangan dalam PRU yang ke-16 kepada Negeri Johor, insya-Allah.

“Ketua Muslimat Kawasan Muar kena fokus supaya ia berjangkit kepada DUN-DUN yang lain dan mengekalkan kemenangan itu dalam PRU yang ke-16. Mari kita memperkuatkan kekuatan parti,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti bahawa peranan wakil rakyat itu jauh lebih luas daripada tanggungjawab sebagai pimpinan parti kerana ia melibatkan masyarakat luar dan tidak hanya ahli parti.

“Kerana bila sebut ADUN, ia mewakili rakyat semua di bawah warga keluarga DUN Maharani. Sudah tentulah gerak kerjanya bukan berfokus pada ahli-ahli PAS, tetapi seluruh pengundi,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian sewaktu merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Johor yang berlangsung di Dewan Kompleks PAS (KOMPAS) Batu Pahat, di sini semalam.

Salamiah dalam ucapannya turut mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS agar sentiasa mengenang jasa-jasa golongan terdahulu yang telah bersusah payah membina parti itu.

“Kami di Pahang, walaupun kami mengecapi sebahagian kemenangan, kita ada 17 ADUN, lima orang Ahli Parlimen, kami masih belum dapat memerintah Negeri Pahang.

“Tetapi kami sangat yakin bahawa kemenangan walaupun belum penuh, Allah anugerahkan melalui pengorbanan orang-orang lama dahulu,” katanya.

Tambah beliau, golongan terdahulu itu telah pun ‘menebang hutan belantara’, melalui susah dan payah dalam mencari kemenangan untuk PAS.

“Kita tahu bahawa ujian-ujian yang dilalui oleh perjuangan awal dahulu. Kita berada di dewan yang sangat selesa. Mereka dahulu dalam situasi yang sangat kerdil dan susah. Tetapi perjuangan diteruskan.

“Nikmatnya, alhamdulillah, PAS dikurniakan kemenangan di empat negeri dan sebahagian daripada negeri-negeri termasuk Selangor, Perak, Pahang diberikan sebahagian kemenangan sehingga kita boleh menghantar wakil rakyat kita di DUN ataupun Parlimen,” ujar beliau.

Turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Abu Irfan Muhammad Al Urduni yang juga Yang Dipertua Kawasan Batu Pahat. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -