Jangan sampai Melayu dipaksa keluar dari bandar

- Advertisement -

AMPANG: Akta Pembaharuan Semula Bandar yang bakal diwujudkan kerajaan diingat agar tidak digunakan untuk mengubah komposisi kaum dengan menghalau orang Melayu keluar dari bandar, demikian tegas Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) itu berkata, keharmonian masyarakat akan tergugat apabila timbul rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

“Akta tersebut perlu diharmonikan dengan akta-akta lain seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah dan akta-akta lain agar tidak berlaku percanggahan. Pentadbiran tanah perlu lebih profesional dengan melantik para profesional yang terlatih dalam bidang berkaitan.

“Kita perlu mengkaji penyelesaian Islam dalam isu pemilikan, pengurusan dan pembangunan tanah sebagai satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi hari ini. Satu kajian perlu dijalankan untuk menghasilkan Kanun Tanah berdasarkan Islam,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara tersebut sebagai resolusi Perbincangan Meja Bulat Pembangunan Semula Bandar ‘Peluang dan Cabaran’ anjuran REACH dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS, di sini semalam.

Kemukanya, Pembangunan Semula Bandar mesti diterajui oleh kerajaan seperti agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan di dalam sebarang usaha sama, kerajaan mesti memiliki pegangan majoriti dan sama sekali melarang pegangan asing.

Resolusi dibacanya itu turut menegaskan untuk penduduk sedia ada tidak akan diketepikan atau dipindahkan ke tempat lain tetapi akan digantikan dengan hartanah di tapak yang dibangunkan apabila sesuatu pembangunan semula diadakan.

“Hartanah yang digantikan hendaklah sepadan dengan pembangunan baharu dan bukan dengan nilai yang lebih rendah. Penduduk sedia ada perlu dilayan sebagai rakan kongsi di dalam sebarang pembangunan semula.

“Mereka tidak sepatutnya dilayan seperti peminta sedekah yang terpaksa merayu untuk mendapatkan hak mereka. Penduduk sedia ada hanya boleh dipindahkan keluar untuk sementara waktu iaitu ketika pembinaan pembangunan baharu dan dipindahkan semula ke tapak apabila siap dibina.

“Kos perumahan dan kos sampingan penduduk tersebut hendaklah ditanggung sepenuhnya,” ujar beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor dan berpengalaman dalam sektor hartanah.

Pembangunan baharu juga katanya, mesti berimej Malaysia dan bukan mengutamakan pembeli atau pelabur asing, kerana tujuan pembangunan baharu adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia bukan rakyat asing.

Pembangunan baharu tekannya juga, mesti berdasarkan peratus komposisi kaum kebangsaan agar dapat mewujudkan keharmonian kaum yang sedia ada di negara di negara ini iaitu dengan melaksanakan kuota-kuota sewajarnya.

“(Iaitu) pemilikan wajar dilaksanakan menurut peratusan ini atau kuota Bumiputera sedia ada atau yang mana satu lebih tinggi. Pembangunan baharu perlu mampu dimiliki semua rakyat dengan setiap segmen masyarakat (B40, M40 dan T20) mempunyai peluang untuk memilikinya.

“Kerajaan perlu memastikan terdapat satu skim pembiayaan untuk membantu rakyat memiliki hartanah di pembangunan yang baharu. Pembangunan baharu perlu mematuhi peraturan dan piawaian yang sedia ada Tiada kompromi dari segi penyediaan kemudahan dan infrastruktur.

“Pembangunan baharu perlu mengambil kira pembangunan di sekitarnya. Impak kepada pembangunan-pembangunan tersebut seperti sosial, trafik, alam sekitar dan sebagainya perlu dimitigasi,” ujar beliau.

Resolusi itu turut menegaskan, pembangunan semula Tanah Rizab Melayu perlu mengekalkan status tanah itu di mana sebarang penjualan atau pemilikan perlu selaras dengan status tersebut.

Pembangunan baharu katanya, perlu realistik dengan kemampuan membeli rakyat agar tidak berlaku hartanah yang tidak dapat dijual di mana inj untuk mengelakkan dari rakyat asing mengambil kesempatan membelinya.

Komponen pembangunan di Tanah Rizab Melayu jelas beliau, mesti bersesuaian dengan kemampuan pemilikan orang Melayu kerana ini bagi mengelakkan kegagalan untuk menjual sehingga terpaksa melibatkan kelonggaran pemilikan terpaksa diberikan.

“Kuota-kuota Bumiputera yang tidak terjual hendaklah diserahkan kepada entiti kerajaan yang sedia ada atau entiti baharu diwujudkan untuk dipegang sehingga dapat dijual. Sehingga dijual ia akan disewakan kepada Bumiputera.

“Masa depan tanah-tanah wakaf perlu diberi perhatian khusus apabila terlibat dengan pembangunan khusus agar tidak tersasar dari matlamat asal,” ujarnya pada perbincangan disertai daripada pelbagai latarbelakang.

Resolusi juga menegaskan perlu diwujudkan Sekretariat Tanah Rizab Melayu untuk menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan tanah-tanah tersebut.

Pembentang lain pada perbincangan itu adalah Prof Dr Ismail Omar, Zaharah Sulaiman, Ustaz Zaharudin Mohammad, Shafie Junun dan Harlina Yang Bakri dengan mengemukakan pembentangan bertajuk khusus masing-masing. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!