GIP bukan pengurus lapangan terbang yang baik

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Pelbagai laporan antarabangsa telah menunjukkan rekod bahawa Global Infrastructure Partners (GIP) iaitu syarikat dimiliki oleh BlackRock Inc, bukanlah pengendali lapangan terbang yang baik.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini menjadikan tindakan menawarkan pemilikan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat itu sebagai sesuatu yang tidak berasas.

“Kalau mengikut laporan antarabangsa, ia bukan main-main, lapangan terbang yang diuruskan oleh GIP milik Blackrock ni selepas diurus oleh GIP,  ‘ranking’ lapangan terbang itu semakin turun.

“Bukan naik tetapi turun. Malah tidak dekat pun (kedudukannya) dengan lapangan terbang contoh KLIA dan rangkaian lain yang kita ada,” katanya yang juga bekas Presiden MUDA.

Tegasnya, dengan penurunan kedudukan ‘ranking’ lapangan-lapangan terbang dimiliki oleh GIP itu berbanding ‘ranking’ lebih baik lapangan terbang dimiliki MAHB pada masa kini, menimbulkan persoalan besar terhadap keperluan menawarkan pemilikan syer kepada GIP.

Kata beliau, isu itu bukan setakat isu BlackRock, Israel dan Palestin sahaja, tetapi terdapat banyak isu berkaitan dengan tatakelola yang perlu dijelaskan oleh kerajaan kepada umum.

“Antara persoalan mengenai tatakelola itu ialah maklumat yang dilaporkan secara meluas bahawa KWSP telah menjual saham MAHB sebelum ini beberapa tahun lepas pada harga yang sangat rendah dan kini membeli semula dengan harga yang sangat mahal.

“Di situ ada persoalan yang perlu dijawab. Selalu orang jual bila mahal, beli bila murah ini terbalik, ia menggunakan duit KWSP. Itu satu persoalan tatakelola,” katanya.

Isu yang paling penting yang perlu diberi perhatian dalam hal itu, kata Syed Saddiq ialah hakikat bahawa MAHB adalah aset strategik negara.

Tambah beliau, walaupun banyak pihak yang menyamakan pemilikan saham GIP-Blackrock dalam MAHB itu dengan saham-saham syarikat tempatan yang dimiliki syarikat itu melalui pasaran terbuka, namun ia berbeza.

Malah katanya, pemilikan GIP-Blackrock dalam syarikat-syarikat tersenarai tersebut kebanyakannya sekitar tiga peratus berbanding 25 peratus dalam MAHB kini.

“Saya rasa ini tiga isu tatakelola ini perlu dijawab oleh kerajaan kerana apa yang telah dijawab sebelumnya berbanding yang sebenar berlaku sangat berbeza sekali,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -