Terengganu dapat capai sasaran 6,000 sertai SkimPAS

Abdul Razak Mohamed
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) yakin Terengganu dapat mencapai sasaran 6,000 penyertaan ahli dalam caruman SkimPAS pada tahun ini.

- Advertisement -

Pengurus Besar SkimPAS, Abdul Razak Mohamed berkata, untuk mencapai sasaran yang ditetapkan Perunding SkimPAS (PSK) di negeri ini perlu bergerak sehingga ke akar umbi.

“Kita meletakkan sasaran lima peratus keseluruhan ahli di setiap negeri. Contoh di Terengganu ada 120,000 orang, jadi sasaran 6,000 orang menyertai SkimPAS.

“Sekarang sudah ada 1,000, jadi mereka (perunding) perlu mencari 5,000 orang lagi. Nak capai 6,000 tidak mustahil kita kena pergi sehingga ke akar umbi.

“Contohnya di Terengganu ini setiap cawangan perlu cari tujuh orang dan ini tidak mustahil sebab AJK cawangan pun sudah ada 15 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas Program Perjumpaan Perunding SkimPAS Terengganu bersama Pengurus Besar di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam, Kubang Parit, di sini, hari ini. Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Untuk rekod Program Jelajah SkimPAS pada kali ini telah mengunjungi lima buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut Razak, tujuan siri itu diadakan adalah untuk memberi maklumat terkini mengenai perkembangan kepada perunding dan bakal perunding termasuk memberi suntikan motivasi.

“Jadi roadshow atau jelajah yang kami buat ini sekurang-kurang harapan kami dapat memberi suntikan kepada negeri itu sendiri supaya sasaran yang kita tetapkan dapat dicapai dan apabila sasaran dicapai misi kita untuk menjadikan PAS sebagai sebuah parti berkebajikan akan tercapai,” katanya.

Ditanya mengapa ahli PAS perlu mencarum dalam SkimPAS, kata beliau, dua perkara yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang perlu diambil perhatian.

“Ini adalah saranan Tuan Guru Presiden. Tuan Guru ada sebut semua ahli PAS mesti menyokong dan mendukung produk parti ini, ia seperti satu arahan.

“Kedua SkimPAS ini adalah infak fisabilillah ia bukan khairat kematian semata-mata. Kalau fikir SkimPAS ini khairat kematian mungkin sudah ada khairat kematian di tempat lain, di masjid atau takaful sendiri RM100,000, RM1 juta dan di mana-mana.

“Jangan lihat SkimPAS ini sebagai khairat kematian lihat sebagai infak fisabilillah seperti Tuan Guru Presiden sebut,” katanya.

Sementara itu, Razak turut memuji pendekatan wakil SkimPAS di negeri ini yang menubuhkan satu jawatankuasa menyelaras perunding.

“Amat menarik perhatian saya bila datang Terengganu mereka ada jawatankuasa untuk membantu menyelaras perunding.

“Sekiranya perunding ada masalah dari segi teknikal operasi dan sebagainya, jawatankuasa ini akan membantu untuk menyelesaikan masalah, yang mana menjadi orang perantaraan dengan pusat sekali gus membantu meringankan beban di peringkat pusat.

“Insya-Allah saya akan cadangkan negeri-negeri lain untuk ikut sama cara mereka tadbir SkimPAS di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -