Pilih calon yang dengar suara rakyat dan bertindak

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pengundi PRK N.20 DUN Sungai Bakap diseru memilih calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail atau Abang Abidin demi memastikan suara rakyat didengari seterusnya diangkat ke DUN Pulau Pinang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pilihan itu juga agar perjuangan ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff atau Abang Zam terhadap warga Sungai Bakap diteruskan legasinya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Sembang Santai Bersama Riders di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunong, di sini hari ini.

“Pengalaman Abang Abidin bersama Allahyarham Abang Zam dalam menangani masalah tempatan dan kesanggupannya untuk bertindak sebagai perantara antara penduduk dan agensi kerajaan dilihat sebagai aset penting dalam mengekalkan kestabilan dan kemakmuran di Sungai Bakap.

“Kita perlu memilih calon berdasarkan kesediaan mereka memahami dan menangani isu-isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat, seperti kenaikan harga barang dan keperluan peruntukan yang adil untuk semua pihak,” katanya.

Khairul Nadzir menyoroti kelemahan Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya tidak efektif dalam menangani keperluan rakyat, khususnya dalam hal peruntukan dan reaksi terhadap isu-isu tempatan.

Oleh itu beliau berpandangan bahawa calon PH juga tidak akan mempunyai keupayaan dan memenuhi kriteria untuk memimpin Sungai Bakap berdasarkan rekod Kerajaan PH yang menerajui pemerintahan kerajaan pada ketika ini.

Justeru, Khairul Nadzir menyeru agar mesej ini disebarkan dengan jelas kepada pengundi untuk memastikan mereka membuat pilihan tepat dan memberi sokongan kepada calon yang mampu memenuhi hasrat warga. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -