Penduduk Sg Bakap derita akibat masalah bekalan air

Siti Nor Baizura Mat Razai
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Penduduk di Mukim 5, Nibong Tebal menghadapi masalah bekalan air serius dan berlarutan selama lebih enam tahun.

- Advertisement -

Situasi itu menyebabkan kesulitan rutin harian yang besar bagi mereka termasuk kesukaran untuk memasak, mencuci pakaian, mandi dan beribadah.

Siti Nor Baizura Mat Razai, 36, berkata keluarganya bergantung sepenuhnya kepada tangki air untuk memenuhi keperluan harian.

Namun katanya, kualiti air dari tangki ini tidak terjamin.

“Anak saya mempunyai kulit sensitif dan sering mengalami kegatalan jika menggunakan air yang kotor,” katanya.

Siti Nor Baizura juga menambah bahawa mereka terpaksa mandi dengan air tapis atau air masak jika air terlalu kotor.

“Anak nak bersiap ke sekolah pun payah, kadang ada air kadang tiada air. Tengah malam pukul 12 atau pukul 1 baru air ada, air ini macam biskut chipsmore, sekejap ada sekejap tak ada. Tengah malam baru boleh kami basuh baju,” tambahnya lagi.

Sementara itu, penduduk dari Taman Seruling Emas, Christine Teoh, 56, berkata masalah itu telah berlarutan selama enam tahun walaupun aduan telah dibuat berulang kali.

“Sudah enam tahun dan kita dah buat aduan tapi asyik bagi jawapan yang tidak logik, hujan pun air tiada,” katanya dengan nada kesal.

Christine Teoh turut menjelaskan bahawa bekalan air biasanya terputus pada pukul 5 petang dan hanya kembali pada tengah malam, menyebabkan kesulitan untuk menjalankan aktiviti harian seperti memasak dan mencuci pakaian.

“Pengsan kalau macam ini setiap hari, kita balik rumah lepas kerja nak rehat tapi nak mandi pun susah, kena tunggu sampai tengah malam baru ada air,” ujarnya.

Cek Nazira Othman, 45, dari Kampung Permatang Ara, turut berkongsi pengalamannya.

“Kadang pukul 7 pagi air dah (sudah) tak ada (tiada), lepas tu (kemudian) pukul 11 pagi pun tak ada, pukul 3 petang air perlahan lepas tu pukul 5 petang air berhenti terus sampai tengah malam,” katanya.

Nazira menambah bahawa keluarganya terpaksa menadah air setiap hari, namun ia sering kali tidak mencukupi.

“Nak sembahyang, nak mandi pun susah. Kami satu keluarga empat orang. Setiap hari kerja dok himpun air, tu pun kadang tak cukup,” katanya.

Penduduk di situ berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang telah menyebabkan kesulitan dan penderitaan dalam kehidupan harian mereka.

Mereka juga menuntut agar hak mereka sebagai pengguna air diambil kira dan diberi perhatian yang sewajarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024