Penduduk Mukim 5 desak kerajaan selesai masalah air

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang digesa menyelesaikan segera masalah bekalan air yang dialami penduduk sejak lebih enam tahun di Mukim 5, Sungai Bakap, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi mengakhiri kesulitan yang dialami oleh penduduk di kawasan itu.

Khairul dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Almarhum Nor Zamri Latiff atas usaha komited beliau dalam membawa isu gangguan air ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun menurut beliau, sehingga kini langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan masih tidak mencukupi bagi menangani masalah tersebut dari terus membelenggu penduduk.

“Gangguan air ini telah berlarutan lebih dari enam tahun. Walaupun kerajaan di pelbagai peringkat telah berusaha menangani masalah ini, tetapi masih belum mencukupi.

“Penduduk di sini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya,” kesali Khairul ketika ditemui di Taman Sungai Duri Indah, di sini hari ini.

Menurut beliau, projek Tangki Sedutan Widuri dan Wellesley didakwa tidak berfungsi secara konsisten, sementara pendekatan yang diambil hanya bersifat sementara.

Khairul juga menegaskan bahawa projek pembinaan dua loji rawatan air mudah alih di Taman Sungai Duri Indah hanya bersifat eksperimen yang tidak memberikan penyelesaian jangka panjang.

“Kami bimbang mengenai risiko pencemaran air di bahagian hulu sungai tempat air diabstrak, serta status projek Loji Rawatan Air (LRA) Kompak Sungai Kerian yang masih tidak jelas.

“Projek Loji Pengapungan Udara Terlarut (DAF) Bukit Panchor juga tidak mampu menyelesaikan masalah air di sini,” tambahnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan pengumuman projek jangka panjang seperti pembelian air bersih daripada Perak melalui LRA baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menimbulkan keraguan terhadap keberkesanannya.

Sebagai penyelesaian segera, Khairul mencadangkan rundingan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan air bersih daripada LRA Lubuk Buntar di Kedah, yang dijangka mempunyai lebihan 10 juta liter sehari pada September 2024.

Khairul menggesa agar kerajaan bertindak secara profesional dalam mengambil keputusan dan bukan hanya bermain politik.

“Sementara menanti projek yang belum tentu lima atau enam tahun itu siap, kita cadang beli dahulu air terawat dari LRA Lubuk Buntar. Penderitaan rakyat mesti diutamakan berbanding perbezaan politik antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -