Menjelang PRK air boleh stabil, sebelum ini tiada air

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Penduduk Taman Seri Emas, Mukim 5, Sungai Bakap di sini terus menderita akibat masalah bekalan air yang berpanjangan.

- Advertisement -

Fatin Nur Liyana Suhaimi, 35, menyuarakan kekecewaannya terhadap isu ini yang dihadapi oleh penduduk di kawasan itu dan kawasan-kawasan lain di Nibong Tebal.

Masalah itu menjadi isu utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023, di mana sesi dialog telah diadakan bersama wakil Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadzlina Sidek dan beberapa wakil politik.

Dalam sesi tersebut, penduduk mencadangkan beberapa langkah penyelesaian, termasuk catuan bekalan air mengikut kawasan, namun sehingga kini, tiada tindakan konkrit diambil oleh pihak berkuasa.

Fatin berkata, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ini, mereka berharap siapa sahaja yang menang dapat menyelesaikan masalah tersebut.

“Kenapa kawasan kami sahaja yang terjejas, jika kekurangan sumber air, kenapa tidak dilakukan catuan di seluruh Pulau Pinang. Kami berharap selepas PRK, cadangan catuan mengikut kawasan dilaksanakan, bukan hanya melibatkan Mukim 5 sahaja,” gesanya.

Beliau juga turut mempersoalkan serta menzahirkan rasa hairan berikutan keadaan bekalan air tiba-tiba stabil semasa tempoh kempen PRK ketika ini.

“Kenapa masa PRK ni tiba-tiba air boleh okey, kami berharap selepas PRK, walaupun siapa pun yang menang, cadangan yang telah dibuat oleh penduduk diambil serius dan dilaksanakan,” tambah Fatin.

Tegas beliau, masalah bekalan air di Mukim 5, seperti di kawasan-kawasan lain, memerlukan perhatian segera dari pihak berkuasa.

Penduduk berharap sesi dialog yang diadakan tidak sekadar omong kosong dan tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah ini secara berkesan.

Mereka juga meminta agar sebarang kemaskini mengenai tindakan yang diambil diberitahu kepada penduduk agar mereka tidak terus berada dalam keadaan tidak pasti. – HARAKAHDAILY 29/6/2024