
NIBONG TEBAL: Rakyat perlu memberi isyarat yang kuat kepada Perdana Menteri bahawa mereka kini sedang menderita, seru Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Rakyat sedang menderita berhadapan dengan kesusahan, tambahan pula dengan tindakan terkini Kerajaan PH-BN yang menarik subsidi minyak diesel,” kata Muhyiddin.
Beliau menambah bahawa bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah terlalu kecil serta menekankan kepentingan sifat ehsan dan bertimbang rasa dalam menangani masalah rakyat.
“Mereka (Kerajaan) perlu mencari jalan dalam apa keadaan sekalipun supaya bebanan rakyat tidak bertambah sepanjang masa,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Katanya, keadaan ketika ini menunjukkan golongan miskin semakin miskin, bukan sahaja orang Melayu, tetapi termasuk juga kaum bukan-Melayu,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Santai Petang sempena PRK N.20 DUN Sungai Bakap di hadapan Masjid Kepala Gajah, di sini, petang semalam.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan pujian kepada Jentera PN dari setiap negeri yang hadir memberikan komitmen tinggi untuk memenangkan PN pada PRK tersebut.
“Jentera bekerja dengan kuat, semua parti komponen terlibat walaupun calon dari PAS. Namun, kita tidak boleh terlalu yakin kerana telah melalui banyak pengalaman dalam PRK. Yang penting semua pihak mesti bekerja bersama-sama,” nasihatnya.
Menurut Muhyiddin, momentum gerak kerja berjalan dengan baik dan lancar di mana kehadiran ramai ahli dan pimpinan parti dari pelbagai negeri yang memainkan peranan masing-masing.
Beliau turut mengulas mengenai penetapan calon BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tarikh pengundian di DUN tersebut.
“Ya, kalau itu keputusan yang kita buat dulu, kerusi itu adalah kerusi BERSATU. Kita sudah pun memulakan gerak kerja dan ada jentera yang sudah mula turun,” katanya.
Muhyiddin menekankan bahawa meskipun PRK diadakan di negeri Kelantan yang menang di situ, namun PN tetap tidak akan mengambil mudah situasi tersebut.
“Kita sedang mengenal pasti calon yang sesuai. Setiap parti yang bertanding pasti bekerja kuat untuk memenangkan calon mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!