‘Kita nak tuntut kerajaan dengar rintihan rakyat’

Nurpais Ismail
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Subsidi adalah hak rakyat yang seharusnya pihak kerajaan tidak boleh tarik dengan sesuka hati.

- Advertisement -

Pempengaruh media sosial, Nurpais Ismail yang turut dikenali sebagai ‘Papa Berry’ berkata, penarikan subsidi minyak diesel yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini telah menyumbang kepada kenaikan harga barang.

“Malah, kenyataan tersebut pernah dinyatakan oleh Rafizi Ramli tetapi setelah menjadi Menteri Ekonomi maka beliau pula melakukan perkara sebaliknya.

“Sekarang seperti mana kita boleh lihat apabila harga barang semakin membebankan orang ramai setelah menghapuskan subsidi minyak diesel,” katanya ketika berucap dalam himpunan Rakyat Lawan Anwar Round 1 yang diadakan di kawasan Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah pempengaruh media sosial Aidil Yunus (YB Viral), penyanyi era 1990-an, Dayangku Intan, Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid dan Siti Zulaika Olivia.

Menurut beliau, kenaikan harga minyak diesel telah menyebabkan berlaku kenaikan kos sara hidup secara mendadak yang membebankan ramai rakyat negara ini.

Tambahnya, tidak mustahil bahawa minyak petrol RON95 juga akan menerima nasib yang sama setelah kerajaan melakukan kenaikan harga diesel.

“Saya sendiri pun menggunakan kereta Toyota Hilux tahun 2013 untuk mencari rezeki di sana sini dan apabila kerajaan menaikkan harga minyak diesel kepada kadar RM3.35 seliter, ianya benar-benar membebankan saya.

“Apa pun kereta saya telah pun habis dibayar tetapi cuba bayangkan orang lain yang menggunakan kenderaan minyak diesel macam mana.

“Oleh sebab itu kita nak tuntut kerajaan supaya dengar rintihan rakyat kerana sudah ramai orang yang terbeban akibat daripada tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak diesel secara mendadak,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu berbanding RM2.15 seliter sebelum itu berdasarkan formula mekanisme harga automatik bagi bulan Mei.

Ini sekali gus menamatkan sistem subsidi pukal setelah sebelum ini kerajaan mengurangkan subsidi elektrik dan mengapungkan harga ayam.

Nurpais berkata, kerajaan tidak perlu menipu rakyat dengan membuat dakwaan kononnya harga barang tidak akan naik apabila berlaku kenaikan harga diesel.

Kata beliau lagi, ini kerana pada hari ini jelas membuktikan bahawa rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga barang yang tinggi akibat daripada kenaikan harga diesel.

“Jadi kita semua berhimpun pada hari ini supaya nak menggesa kerajaan supaya bukan sahaja turunkan balik harga minyak diesel tetapi juga jangan naikkan harga minyak petrol RON95 pula,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -