Hak rakyat terjemah kekecewaan melalui peti undi

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru rakyat untuk menggunakan kuasa diberikan kepada mereka, antaranya hak undi untuk memilih dalam pilihan raya.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa rakyat berhak dan boleh menterjemahkan kekecewaan mereka melalui kertas undi terhadap kerajaan sekarang terutama disebabkan isu-isu terkini seperti kenaikan kos sara hidup.

“Kita mesti terjemahkan kenaikan kos sara hidup dalam peti undi. Selain mengisi kekosongan (kerusi), rakyat perlu melihat pentingnya setiap undi dalam menentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian malah turut mengkritik Kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal menangani isu penyelewengan diesel dengan berkesan.

“Alasan kenaikan harga diesel kerana penyeludupan, adalah tidak boleh diterima. Apa fungsi kerajaan yang ada di Malaysia sekarang jika tidak dapat menangani isu ini?” persoal beliau.

Tuan Ibrahim turut menekankan kepentingan keputusan mengenai jualan saham strategik negara dibawa ke Parlimen atau sekurang-kurangnya dibincangkan dalam Kabinet.

Ini menurut beliau, adalah untuk memastikan kawalan terhadap aset strategik negara sentiasa terjaga di mana hal itu melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

“Pemilikan saham biasa tidak sama dengan aset strategik negara. Sebarang keputusan penting mengenai jualan saham strategik negara mesti dibawa ke Parlimen atau kabinet supaya ia dapat dikawal dengan baik,” jelas beliau.

Justeru, Tuan Ibrahim menyeru rakyat Sungai Bakap untuk menggunakan hak mengundi mereka dengan bijak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu, 6 Julai depan. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!