Cukuplah kerajaan gagal – Sungai Bakap kita perlu kekal

- Advertisement -

KESAN pengapungan harga diesel dua minggu lalu, telah mengakibatkan masing-masing peniaga dan pengguna terbeban dengan kenaikan harga barangan secara menyeluruh.

Harus diakui rantaian bekalan barangan dan makanan pasti terjejas berpunca dari kenaikan mendadak harga diesel iaitu sebahagian kos dalam rantaian bekalan tadi.

Laksanakanlah penguatkuasaan macam mana sekali pun, namun suka atau tidak rakyat khasnya pengguna lah yang menjadi mangsa akhir yang terpaksa memikul beban kenaikan kos ini.

- Advertisement -

Satu laporan dalam akhbar The Sunday Star (23 Jun 2024) dengan tajuk “(Kenaikan) Harga diesel membakar harga barangan”, menyenaraikan beberapa kesan “hidup” akibat pengapungan harga diesel oleh kerajaan.

Seorang peniaga rempah mengatakan harga bahan jualannya telah naik 70 ke 80 peratus. Menurut beliau, sebelum pengapungan harga diesel, lada hitam dijual pada harga RM25 sekilogram, hari ini RM45. Lada putih pula dulu RM32 sekilogram, sekarang RM45.

Pengerusi Persatuan Pasar Awam Larkin, Sadam Salim, mengatakan sekilogram lobak merah sebelumnya dijual RM15 sekarang terpaksa jual RM24. Seorang pekedai runcit pula menyatakan harga kobis, halia dan tomato naik mendadak.

Kobis dulu RM3 sekilogram, sekarang naik dua kali ganda. Manakala seorang pengguna , S Jayanthi mengatakan perbelanjaan untuk bahan makanan bagi keluarganya, dulu RM400 sebulan kini naik RM700.

Ternyata Kerajaan PH-BN sejak memerintah sehingga hari ini terus gagal melegakan kehidupan rakyat, sebaliknya rakyat terus terjejas dengan kenaikan kos hidup.

Sedangkan semasa berkempen dahulu, pelbagai janji manis ditaburkan kepada rakyat, janji-janji yang ternyata hari ini palsu dan mereka yang mengundi telah tertipu.

Antara lain Manifesto PH menyebut: “Kita Boleh Menjamin Kesejahteraan Rakyat – Menjana pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan demi kesejahteraan yang holistik buat rakyat.” Sejahterakah rakyat Malaysia setelah hampir dua tahun PH-BN memerintah?

Lantaran itu rakyat perlu bertindak bijak memberi mesej pada kerajaan ini bahawa mereka telah gagal, dan rakyat sudah bosan.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang, adalah platform terbaik untuk rakyat lantang memberikan isyarat pada PH-BN. Di Pulau Pinang Kerajaan PH-BN yang didominasi DAP memerintah sejak beberapa penggal.

Sejauh manakah usaha Kerajaan DAP Pulau Pinang berjaya membantu mensejahterakan kehidupan 38,409 pengundi di Sungai Bakap? Terdapat 60.47 peratus pengundi Melayu di Sungai Bakap, adakah nasib dan kebajikan mereka telah terbela selama ini, atau makin sengsara dengan pengapungan harga diesel oleh Kerajaan PH-BN?

PRK ini adalah medan terbaik buat rakyat. Para pengundi Sungai Bakap boleh mewakili rakyat Malaysia memberi isyarat pada PH-BN bahawa kegagalan mereka mengurus rakyat dan mentadbir negeri dan negara sudah tidak boleh diterima lagi.

PH-BN dahulu berkempen seakan punya kepakaran dan kehebatan boleh memulihkan ekonomi negara, membawa kesejahteraan buat semua, rupanya bila mendapat kuasa, janji hanya tinggal janji.

Di Sungai Bakap, mantan ADUN PAS-PN dahululah yang bersuara di Dewan memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat selain bertarung di lapangan bertemu dan membantu rakyat.

Dalam PRN Ke-15 tempoh hari, rakyat pengundi telah menolak calon PKR dan buat pertama kali menaikkan calon PN-PAS. Kita tolak mereka kerana tidak mampu mengotakan janji, mereka bersekongkol dengan yang pincang dan tempang.

Kita mahukan perubahan demi kebaikan bangsa dan negeri serta negara. Kita cipta perubahan dalam PRN lalu dan kekallah kita meneruskan sikap ini dengan mengundi Abang Bidin, calon PN, Sungai Bakap kita kekal. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!