KUALA LUMPUR: PAS memandang serius akan satu penulisan yang tular baru-baru ini berkaitan cadangan untuk menempatkan Amerika Syarikat dalam radar penerbangan dan ruang udara Malaysia sebagai lokasi strategik untuk penguasaan pelbagai kemudahan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia ditulis oleh seorang individu bernama Dr John Brian Anthony yang juga merupakan bekas pimpinan DAP Pusat.
Menurutnya, intipati cadangan itu yang cuba ‘membuka pintu’ dan ‘memberi tempat’ kepada Amerika Syarikat adalah satu bentuk ancaman yang nyata terhadap kedaulatan negara.
“Dalam keadaan kerajaan yang masih bertegas dengan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP), cadangan ini bakal mengukuhkan lagi pertapakan Amerika Syarikat di Malaysia, lebih-lebih lagi apabila Malaysia mengambil sikap berkecuali dalam apa jua pertembungan geopolitik antara negara-negara besar sehingga kini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Belaiau berkata, satu perkara lagi yang perlu dimaklumi ialah keadaan lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Subang, Kuantan, Kuching, Labuan, Alor Star, dan Ipoh, yang dikongsi bersama oleh pihak komersial dan tentera adalah terletak berhampiran dengan kem tentera utama negara.
Hal ini, ujarnya semakin mencetuskan kebimbangan sekiranya cadangan itu direalisasikan.
Oleh itu, kata beliau cadangan itu jika benar amatlah berbahaya dan tidak wajar dikeluarkan biarpun apa sahaja alasannya.
Menurutnya lagi, sebarang cadangan yang mengundang ancaman terhadap kedaulatan negara perlu segera ditolak tanpa sebarang kompromi.
Justeru, tegasnya PAS mendesak pihak kerajaan agar menafikan sekeras-kerasnya sebarang usaha yang melibatkan penguasaan pihak asing dalam aset strategik negara seperti radar penerbangan dan ruang udara negara.
“PAS akan terus membantah tindakan-tindakan yang boleh menggugat kestabilan negara dan akan terus memastikan Malaysia kekal bebas daripada sebarang anasir dan pengaruh yang boleh menggugat kedaulatan negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 29/6/2024