PRK Sungai Bakap: Rakyat bebas berfikir buat keputusan

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Rakyat berbilang kaum di Malaysia sewajarnya diberikan sepenuhnya kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan demi kebaikan masa depan masing-masing.”

Ketua Portfolio Perpaduan Negara PERIKATAN NASIONAL (PN), Dr. Halimah Ali berkata, kempen yang sihat, bersih dan adil adalah cerminan pada sebuah negara demokratik yang aman dan sejahtera.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal berlangsung  tidak lama lagi.

“Pengundi di DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang akan turun mengundi pada hari Sabtu, 6 Julai ini. 

“Ketika ini, calon-calon yang bertanding dengan sokongan jentera masing-masing sedang rancak berkempen untuk memenangi hati dan sokongan rakyat di sana.

“Justeru, tidak wajar diwujudkan keadaan tegang dan menakutkan bila pihak keselamatan di arah sentiasa bersama dalam lingkungan jentera kempen terutama di pihak pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar menyatakan, ia penting dalam membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, meraikan perbezaan pandangan dalam waktu yang sama menjamin dan mempertahankan kebebasan itu. 

Menurutnya lagi, ia dapat dilakukan dengan mengikis sebarang amalan tidak demokratik seperti membakar api perkauman, menggunakan jentera Kerajaan untuk mempengaruhi undi, rasuah dan  salah guna kuasa.

“Saya menyeru agar rakyat pengundi di PRK Sungai Bakap menggunakan kesempatan PRK ini untuk menilai masing-masing calon dan akhirnya 6 Julai nanti membuat keputusan yang terbaik demi kawasan Sungai Bakap dan rakyat penduduknya. 

“Pilihan raya yang bebas dan adil membuktikan Perpaduan Nasional yang mantap,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -