PRK Nenggiri 17 Ogos, penamaan calon 3 Ogos

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos, manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 13 Ogos, dengan menggunakan daftar pemilih terkini bertarikh sehingga 18 Jun 2024.

- Advertisement -

“Terdapat seramai 20,259 pemilih yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 orang anggota polis. PRK DUN Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 3 Ogos sehingga 11.59 malam, 16 Ogos. Manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK tersebut dibuka mulai hari ini secara dalam talian.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 18 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN berkenaan kosong selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan daripada parti Bersatu.

Ia susulan tindakan Azizi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam turut menolak permohonan injuksi Azizi bagi menangguhkan pengumuman SPR mengenai tarikh PRK DUN berkenaan sementara menunggu keputusan tuntutan mahkamahnya bagi mencabar kesahihan penamatan keahlian partinya, yang menyebabkan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan kosong. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -