PN, Pemuda PAS rakam takziah pemergian Jamilus Md Hussin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) pusat dan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah di atas pemergian seorang tokoh negara, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Mohd Hussin yang juga merupakan Presiden KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd., pada pagi ini.

- Advertisement -

PN dalam kenyataannya pada hari ini berkata, pada pagi ini, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh negara, Tan Sri (Dr) Ir. Jamilus Md Husin.

“Allahyarham yang merupakan seorang tokoh dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek, memainkan peranan penting dalam pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Allahyarham, 75, juga telah mengetuai KLIA Consultancy Services Sdn. Bhd. dan merupakan Presiden Institut Pengurusan Projek Malaysia.

“PN Pusat mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberikan kekuatan untuk mengharungi ujian kehilangan besar ini,” ujar kenyataan itu.

Sementara Pemuda PAS dalam kenyataannya pada hari ini pula berkata, Allahyarham layak digelar sebagai Bapa Pembangunan KLIA.

“JasaAllahyarham dalam pembinaan KLIA telah mendapat pengiktirafan sehingga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Projek daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-63.

“Sepanjang hayatnya, beliau telah berjaya membawa KLIA yang turut diuruskan oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) bersama-sama 38 Lapangan Terbang lain di Malaysia menempa nama di peringkat dunia,” ujar kenyataan itu. 

Sehubungan itu, Pemuda PAS mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd. atas kehilangan besar ini.

“Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan semoga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi ujian besar ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -