Nutrisi dan sistem ketahanan badan

- Advertisement -

MANUSIA dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian. Kita dilengkapi dengan sistem ketahanan badan, endokrin, pencernaan dan pelbagai lagi sistem yang sangat efektif dan menakjubkan.

- Advertisement -

Sejak dilahirkan, sistem ketahanan badan kita yang berbentuk tidak khusus (innate immune system) mula berfungsi. Antibodi yang dibekalkan melalui plasenta ibu yang melahirkan turut memastikan kita terpelihara dari jangkitan. 

Jangkitan ini boleh disebabkan oleh virus, bakteria atau kulat dari udara yang masuk ke rongga pernafasan kita, sentuhan dari orang sekeliling atau mungkin makanan atau minuman yang diberikan.

Sementara menanti sistem ketahanan khusus (adaptive immunity) matang yang biasanya mengambil masa 2-3 tahun selepas bayi dilahirkan, antibodi seperti immunoglobulin gamma (IgG) dan komponen yang dibekalkan dalam susu ibu seperti lactoferrin selain daripada pelbagai jenis oligosaccharide dapat memastikan badan kita bersedia dan mampu menghalang jangkitan dan alergi.

Bayi yang diberikan susu ibu mempunyai komuniti bakteria baik di dalam usus dan nasofarinks yang berbeza dari bayi yang diberikan susu formula. Komposisi nutrisi di dalam susu formula tidak sama seperti susu ibu. 

Antibodi dan protin yang mempunyai kemampuan menghalang jangkitan seperti lactoferrin dan lactadherin di dalam susu lembu tidak lagi berada dalam struktur asal akibat dari proses perubahan menjadi susu formula.

Kerana itu bayi yang diberikan susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat penyakit disebabkan jangkitan pernafasan, keradangan pada lapisan usus (gastroenteritis) dan alergi.

Langkah yang efektif bagi memastikan bayi mendapat nutrisi yang optimum seawal usia dapat mengawal peningkatan kes kesihatan, seterusnya menurunkan beban sektor kesihatan negara dalam jangka pendek dan panjang.

Dasar negara yang membenarkan ibu bekerja mengambil cuti bersalin dalam tempoh yang wajar, bukan sahaja memastikan bayi yang lahir mendapat perhatian sewajarnya, tetapi juga memberi peluang bagi ibu memberi nutrisi terbaik bagi menjamin kesihatan bayi.

Menjadi kelaziman di negara barat, ibu yang melahirkan mengambil cuti bersalin sekurang-kurangnya 9 bulan. Di United Kingdom, majikan atau kerajaan akan membayar imbuhan kepada ibu yang melahirkan (maternity allowance/statutory maternity pay) sekurang-kurangnya sebanyak £184.03 seminggu selama 39 minggu.

Tempoh ini bukan sekadar memberi peluang bagi ibu memberi tumpuan kepada bayi tetapi juga membantu proses pemulihan ibu yang melahirkan serta penyesuaian dengan suasana baru akibat pertambahan ahli keluarga.

Jika langkah ini dilihat tidak praktikal di Malaysia untuk masa sekarang, sekurang-kurangnya majikan perlu berusaha untuk menyediakan nurseri yang hampir dengan tempat kerja bagi memudahkan ibu-ibu memberi perhatian kepada bayi terutamanya yang berusia kurang darı 3 tahun.

Tempoh 2-3 tahun pertama seorang bayi sangat kritikal bagi menentukan tahap kesihatan generasi akan datang. Selain ibu bapa, pihak berkuasa mempunyai peranan penting bagi memastikan setiap bayi yang dilahirkan diberi peluang terbaik untuk membesar dengan sihat.

DR HANI’AH ABDULLAH
Alderley Park
Kelab PAS UK – HARAKAHDAILY 28/6/2024

Rujukan;
Govers C et al. 2022. Front. Immunol. 13:841532. doi: 10.3389/fimmu.2022.841532  

PENAFIAN:
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -