Isu BlackRock meloyakan, serlah kemunafikan pemimpin

- Advertisement -

HARI ini dunia seolah-olah bergembira meraikan ‘pembebasan’ tokoh media Julian Assange setelah 12 tahun diburu dan dibuli Amerika Syarikat hanya kerana beliau cukup berani membuka pekung dan melondehkan wajah buruk ‘Polis Dunia’ itu.

- Advertisement -

Bercakap kepada media, peguam beliau mengatakan bahawa anak guamnya itu “menderita begitu teruk dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media.”

Pengasas WikiLeaks itu pernah mengemparkan dunia dengan video pembunuhan kejam warga Iraq oleh tentera Amerika Syarikat. Sekumpulan orang awam tersebut termasuk kanak-kanak ditembak secara semberono dari sebuah helikopter pada 2007 sehingga menyebabkan kecaman dari seluruh dunia. 

Seperti juga negara haram Israel kini dengan media seperti Al Jazeera mendedahkan genosid di Gaza, Amerika Syarikat juga sangat marah akan tokoh WikiLeaks tersebut atas perkara itu dan banyak lagi pendedahan lain.

Mungkin itulah juga wajah sebenar Uncle Sam yang hari ini tanpa setitik rasa malu atau bersalah, menaja berbilion dolar sebuah jenayah perang dan genosid terancang yang sedang mengambil tempat di bumi Palestin. Dan tidak keterlaluan juga untuk mengandaikan bahawa BlackRock Inc. ‘lahir’ daripada itu.

Dan mungkin juga jika usul penjualan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada entiti BlackRock Inc. tidak ditolak, rakyat Malaysia, khasnya Speaker Johari Abdul dari parti yang sama dengan Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan kerajaan dapat mendengar akan perkara tersebut dibangkitkan. Malangnya ia tidak berlaku.

Hakikatnya juga kita sememangnya tidak terkejut atas penolakkan tersebut. Nampaknya sekali lagi Israel, Netanyahu dan lain-lain pemuka Zionis tidak akan dikecam Parlimen Madani dalam waktu terdekat ini.

Sememangnya itu bukanlah perkara yang sangat membimbangkan kita. Apa yang mengusarkan ialah apabila kerajaan dilihat seolah-olah ‘tiada’ pilihan lain dalam mencari pelabur untuk pemilikan saham MAHB itu.

Tokoh wartawan A Kadir Jasin mengesyaki wujudnya urusan belakang tabir dalam penjualan saham MAHB. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan terbuka Timbalan Presiden Umno, Mohamed Hasan atau Tok Mat yang juga merangkap Menteri Luar, berkata keputusan yang telah dibuat tidak dipersetujui Menteri-Menteri Umno dan ianya bukanlah keputusan kabinet.

Lebih membimbangkan ialah jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri yang kononnya BlackRock Inc. bukanlah sebuah konglomerat pelaburan yang baru melabur di Malaysia dan bukannya sebuah syarikat Israel. Malah pada tahun 2021, dibolehkan pula, sanggah Perdana Menteri.

Sedangkan yang menjadi isu sekarang ini, asbab syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat itu ditentang hebat ialah saudara seagama kita, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua disembelih kejam setiap hari di Palestin dalam satu jenayah genosid terancang rejim Zionis sejak Oktober 2023 lagi dan BlackRock Inc. melalui beberapa syarikat pelaburannya, seperti yang dikongsikan sebelum ini, dilaporkan terlibat secara langsung. 

Malah gergasi konglomerat tersebut dituduh masyarakat antarabangsa berbuat untung atas jenayah genosid tersebut. BlackRock Inc. juga telah ditegur beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melarang syarikat tersebut untuk berterusan membekalkan senjata perang kepada Israel atau bakal dilihat terlibat langsung dalam jenayah perang dan genosid.

Kita bukannya menyalahkan BlackRock Inc. ke atas tragedi penyembelihan wanita dan kanak-kanak di kem pelarisn Sabra dan Shatila!

Hari ini, malah setiap hari, sejak lapan bulan lepas, jenayah perang dan genosid yang berlaku di bumi Palestin dapat dilihat dunia, termasuk kita di Malaysia. Isunya bukan tahun 2021 seperti yang dibangkitakan Perdana Menteri di Parlimen ketika menjawab isu penjualan saham MAHB.

Malah jika keputusan yang dibuat pada 2021 itu merupakan sebuah kesalahan kepimpinan kerajaan Malaysia ketika itu bukankah lebih molek dan afdal sekiranya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menoktahkan amalan tidak baik yang jelas boleh meruntuhkan dan merugikan ummah?

Bukankah itu lebih madani sifatnya?!

Namun sebaliknya berlaku. Kerajaan kali ini dilihat seolah-olah mahu ‘penjodohan’ MAHB-BlackRock Inc. diteruskan walaupun ditentang massa sehinggakan membubarkan MAVCOM dengan kelulusan usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Armada Bersatu merangkap Ahli Parlimen PN-Machang.

“MAVCOM ini benteng terakhir melindungi kedaulatan lapangan terbang kita” bahas beliau lagi.

Apa ada dengan BlackRock Inc. sehinggakan tiada syarikat lain dunia untuk menggantikan pelaburan ke atas MAHB ini?

“Kerajaan nampaknya beria-ia sangat mahukan BlackRock sebagai rakan kongsi walaupun ia tahu terdapat bantahan yang kuat” kata veteran wartawan, A Kadir Jasin.

Nampaknya kempen tandatangan yang dimulakan BDS Malaysia (the Boycott, Divest and Sanctions) di sesawang change.org juga tidak cukup taring untuk mengusarkan kerajaan Madani. 

Mungkinkah ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang bakal berlangsung di Putrajaya pada esok, Sabtu, 29 Jun dapat berbuat sesuatu?

Sememangnya BlackRock Inc. adalah sebuah gergasi konglomerat yang bukan calang-calang. Pada awal tahun ini sebuah lagi entiti berkaitan BlackRock Inc., Northrop Grumman dilaporkan sedang mengkaji konsep dan perlaksanaan untuk membina infrastruktur rangkaian landasan keretapi di Bulan. Ianya sebahagian daripada ’10-year Lunar Architecture (LunA-10) Capability Study’.

Tidak dapat dibayangkan jika itu menjadi kenyataan, hujah yang bakal digunakan kepimpinan dan penyokong kerajaan untuk mengkosherkan BlackRock Inc. kepada rakyat Malaysia kelak?!

Apapun spin itu kelak, hakikatnya ‘penjodohan’ ini adalah sesuatu yang meloyakan dan kemunafikan nyata seperti yang dibangkitkan Exco Pemuda Umno Nazifuddin Najib beberapa hari lepas.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 28/6/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -