Isu BlackRock: ‘Kerajaan masih belum terlambat tarik balik…’

Nasrul Ali Hasan (tengah) , Nur Amani (kiri) dan Nurhafizah (kanan) hadir menyerahkan memorandum Putra di Pejabat Khazanah Nasional, Kuala Lumpur pada hari ini, 28 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan masih belum terlambat untuk tarik balik perjanjian penjualan saham membabitkan syarikat yang ada kaitan dengan konglemerat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock).”

Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ia memandangkan pembelaan nasib rakyat Palestin adalah jauh lebih utama.

- Advertisement -

“Majoriti rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa adalah bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin.

“Jadi, saya harap kerajaan mengambil perhatian mengenai isu ini kerana pendirian kami amat jelas iaitu tetap menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya ketika hadir menyerahkan memorandum Putra di Pejabat Khazanah Nasional, di bangunan Mercu UEM, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu kerajaan mengadakan sebarang kerjasama dengan syarikat BlackRock  yang jelas menyalurkan bantuan kepada Zionis Israel dalam melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga kini.

“Kami menghantar memorandum ini bagi menyuarakan pandangan dan nasihat kepada pihak kerajaan supaya tidak meneruskan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock.

“Ini kerana kita tidak mahu kerajaan ini bersekongkol dengan mana-mana syarikat yang terang-terangan menyalurkan bantuan kepada negara haram tersebut,” katanya dalam sidang media Penyerahan Memorandum Putra berkenaan.

Turut hadir ialah Naib Ketua Wiranita Malaysia, Nur Amani Ibrahim dan Ketua Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalludin.

Menurut beliau, kerajaan seharusnya lebih mengutamakan soal kemanusiaan terlebih dahulu jika dibandingkan dengan pembangunan kemajuan ekonomi negara ini semata-mata.

Tambahnya, biarpun Khazanah Nasional Berhad akan mempunyai pegangan saham yang amat tinggi dalam saham MAHB tetapi tidak bermakna kerajaan perlu memberikan ruang BlackRock untuk menjadi antara pemegang saham besar dalam syarikat tersebut.

“Kita harus faham bahawa MAHB ini adalah melibatkan aset strategik negara ini yang mana kerajaan tidak boleh sesuka hati menjual sebahagian saham syarikat tersebut kepada pihak sembarangan.

“Ini kerana jika antara pemegang saham besar MAHB itu sendiri adalah sebuah syarikat yang pro-Zionis seperti BlackRock maka ianya seolah-olah macam membuka ruang untuk negara kita diserang dari dalam pula.

“Ini bukan sesuatu perkara yang boleh dibuat main-main kerana kedaulatan negara kita sendiri pun boleh terancam sekiranya urusan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock,” ujarnya.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara, akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).

Namun begitu, Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus).

Dalam pada itu, Nur Amani pula menyatakan, tiada sebarang alasan untuk kerajaan menjual sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock kerana masih ada lagi syarikat-syarikat pelaburan besar yang lain yang boleh dipilih bagi mendapatkan dana tambahan.

Kata beliau, aktivis-aktivis di negara maju juga menentang BlackRock disebabkan penglibatannya dengan genosid Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

“Namun, kenapa kerajaan kita terhegeh-hegeh nak jual sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock sedangkan ada banyak lagi pilihan lain?” soalnya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa syarikat BlackRock sudah melabur dalam pelbagai saham syarikat dalam negara ini sejak sekian lama tetapi menegaskan bahawa pembelian tersebut adalah melalui pasaran terbuka.

“Malah, jika dilihat betul-betul pemilikan saham-saham syarikat dalam negara kita, BlackRock hanya ada pegangan kurang daripada tiga peratus sahaja.

“Namun, dalam kes sebegini kerajaan nak beri pemilikan saham MAHB lebih daripada angka tersebut kepada BlackRock dan ini merupakan satu perkara yang amat tidak wajar kerana kita tidak mahu mereka ada kawalan dalam lapangan terbang kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -