Hamas setuju pelan asal gencatan senjata

Gaza hancur lebur dibom pengganas zionis Israel.
- Advertisement -

PIHAK Hamas menegaskan bahawa rundingan gencatan senjata dengan rejim Israel adalah berdasarkan pelan asal yang menggesa pengunduran tentera Israel dari pusat populasi utama di Gaza dan gencatan senjata yang berjalan selama enam minggu pada peringkat awal.

Menurut negara Qatar selaku perantara antara Hamas-Israel, rundingan itu adalah berdasarkan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang dibentangkan pada 31 Mei lalu, menggesa pengunduran Israel dari pusat penempatan yang tinggi populasi penduduk di Gaza dan gencatan senjata selama enam minggu yang kemudiannya boleh dilanjutkan jika perantara memerlukan lebih banyak masa untuk mengusahakan perjanjian damai secara kekal.

- Advertisement -

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan perang di Gaza akan diteruskan sehingga Hamas tidak lagi wujud. Beliau memberikan gambaran bahawa Israel masih terbuka kepada perjanjian ‘separa’ yang akan memudahkan urusan membawa pulang sebahagian tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Jelas Netanyahu hanya bersetuju melakukan gencatan senjata untuk membebaskan tebusan di Gaza, namun enggan menamatkan perang dan bertekad untuk menghapuskan Hamas.

Seminggu sebelumnya, Netanyahu dilaporkan telah membubarkan kabinet perang dalam pemerintahannya. Pembubaran ini dilakukan setelah Jeneral Tentera Israel, Benny Gantz meletakkan jawatan dari kabinet tersebut.

Pembubaran kabinet perang ini berlaku ketika Israel sedang menghadapi pertimbangan yang lebih besar. Israel dan Hamas sedang mempertimbangkan cadangan terbaru untuk gencatan senjata dengan imbalan pembebasan tebusan oleh Hamas.

Pertimbangan yang getir ini perlu dilakukan dalam situasi Israel masih terus menggempur Rafah dan menentang kebangkitan Hamas di wilayah lain. Israel juga menghadapi peningkatan serangan di perbatasan utara dengan Lubnan.

Kabinet Perang Israel tersebut dibentuk pertama kali pada 11 Oktober 2023, lima hari setelah serangan Hamas 7 Oktober 2023 yang mengorbankan sekitar 1,200 orang warga Israel. Kabinet ini dianggotai oleh lima orang, iaitu Netanyahu, Menteri Pertahanan Yoav Gallant, Benny Gantz, serta dua pemerhati Ron Dermer dan Gadi Eisenkot.

Ketika kabinet itu dibentuk, Netanyahu mengatakan kabinet perang ini akan memainkan peranan utama dalam menentukan serangan darat tentera Israel ke Gaza.

Pada 9 Jun lalu, Gantz akhirnya memutuskan untuk berundur dari kabinet itu kerana kecewa dengan Netanyahu yang tidak bersetuju dengan rancangan pasca-perang di Gaza. Beliau turut mengumumkan keluar dari pemerintahan parti gabungan Netanyahu. Setelah itu, Gadi Eisenkot menyusul langkah Gantz sehingga akhirnya kabinet perang itu dibubarkan. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -