Dua MP PH dan BERSIH pertikai pelantikan Pengerusi baharu SPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengkritik cara Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam melantik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Dua Ahli Parlimen tersebut iaitu Khoo Poay Tiong (PH Kota Melaka) dan Cha Kee Chin (PH Rasah) menyatakan perkara itu sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Khoo dalam ucapannya berkata, proses pilihanraya adalah penting dalam memastikan perjalanan satu pilihan raya yang bersih untuk memilih wakil rakyat.

“Dalam hal ini saya ingin menyeru kepada pihak kerajaan supaya apabila ada pelantikan sama ada Pengerusi ataupun Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, haruslah merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Pilihan Raya dan Reformasi Institusi,” katanya.

Kata beliau, Pengerusi Jawatankuasa tersebut telah mengemukakan cadangan supaya pihak mereka boleh membantu pihak kerajaan untuk meneliti, menyemak serta memberi pandangan dan cadangan tentang calon-calon bagi jawatan itu.

“Jadi apa yang saya lihat apabila pengumuman semalam mengatakan seseorang sudah dilantik sebagai Pengerusi SPR tetapi tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut.

“Saya rasa kecewa. Saya rasa kita sebagai satu kerajaan yang inginkan reformasi sepatutnya kita lakukan dengan lebih baik merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas,” kata Khoo.

Sementara itu, Cha dalam ucapannya di Dewan Rakyat itu meminta agar pelantikan Pengerusi Suruhanjaya SUHAKAM dibuat dengan merujuk kepada JKPK.

“Rujuk kepada JKPK. Jangan seperti dibuat dengan lantikan kepada Pengerusi SPR semalam, tanpa rujukan kepada JKPK yang berkenaan.

“Sebab, sekiranya kerajaan tidak merujuk perkara-perkara penting yang mustahak ini kepada JKPK, apa gunanya ada JKPK yang dibentuk selaras dengan reformasi institusi yang kita harapkan?” soal Ahli Parlimen PH Rasah itu.

Semalam, BERSIH, NGO yang sekian lama menjadi sekutu Anwar, turut menzahirkan rasa kecewa melalui satu kenyataan yang dimuatnaik di laman sesawangnya.

Kata kenyataan itu, Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri telah melanggar janji pilihan raya buat kali ketiga, dengan melantik Pesuruhjaya SPR tanpa melalui JKPK.

Tambah kenyataan itu lagi, lantikan ini tetap diteruskan walaupun Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi, William Leong, telah mengeluarkan kenyataan pada 17 Mei 2024 bahawa JKPK telah bersetuju serta bersedia untuk meneliti pelantikan Pengerusi SPR yang baharu itu.

“Pengumuman lantikan ini adalah bertentangan permintaan JKPK bahawa lantikan tersebut perlu dijalankan secara terbuka dengan melibatkan Parlimen, sekaligus menafikan peranan Parlimen.

“Apa yang lebih merisaukan, proses lantikan ini seolah-olah bercanggah dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa anggota SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (MRR),” kata kenyataan itu lagi.

Tegasnya, berdasarkan perkembangan itu, Putrajaya mengesahkan penilaian BERSIH awal bulan ini di mana badan itu memberikan markah “F” untuk reformasi pilihan raya.

“Kepada saudara Anwar, beliau telah bersiaga untuk memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.

“Tidak dapat tidak kita pasti akan tertanya, adakah ini saja reformasi yang beliau dapat lakukan selepas persediaan selama 31 tahun?” soalnya. – – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -