Akidah manusia bermula dengan tauhid

- Advertisement -

ASAS agama bermula dengan Islam iaitu agama tauhid. Syirik ini datang kemudian. Dalam sejarah Islam, bermula dengan Nabi Adam, baginda membawa akidah tauhid dalam keluarga dan keturunannya.

Kemudian, Nabi Idris muncul dan membawa akidah yang sama. Manusia belum lagi syirik pada waktu itu.

Selepas Nabi Idris wafat, barulah manusia mula menyembah berhala. Sembahan tersebut berlaku dalam tempoh yang lama. Sehinggalah Allah mengutus Nabi Nuh. Agama yang syirik sama ada Dualism atau Polytheism datang kemudian.

- Advertisement -

Ada pandangan di Barat yang menyatakan bahawa asalnya manusia itu syirik yang menyembah Tuhan yang banyak. Akidah tauhid adalah kemuncak kepada perjalanan agama manusia.

Ingatlah, pandangan ini terbalik dan ia tidak boleh digunapakai kerana tidak betul.

Al-Quran menyebut dengan jelas, akidah manusia ini bermula dengan tauhid. Syirik datang kemudian. Oleh sebab itu, Allah mengutus Nabi dan Rasul supaya manusia kembali semula kepada akidah iaitu akidah tauhid.

Agama Kristian juga asalnya adalah akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa. Kemudian, berlaku penyelewengan seperti yang ada kini.

Hari ini berlaku pertembungan yang hebat di Barat dalam kalangan orang Kristian dan ada yang ingin Kembali kepada akidah tauhid dan menolak Trinity. Mereka berbahas kerana tidak dapat menerima Nabi Isa ialah anak Tuhan.

Ini yang berlaku dan mungkin suatu masa nanti, ada yang akan kembali semula kepada agama asal iaitu agama tauhid.

Agama Yahudi juga asalnya adalah agama tauhid. Mereka percaya kepada Tuhan yang satu, cuma mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad dan Nabi Isa. Ada banyak percanggahan yang berlaku.

Cuma ringkasnya nak nyatakan, asal akidah manusia adalah satu. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -