Syariah: Pinda Perlembagaan Persekutuan elak pertindihan kuasa

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan penting dalam memperjelaskan kuasa negeri-negeri bagi menggubal Undang-undang Jenayah Islam, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

- Advertisement -

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu mengajukan soalan tambahan terhadap soalan asalnya berkaitan dengan Jawatankuasa Teknikal Khas berkaitan dokumentasi undang-undang jenayah syariah dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Soalan saya, sama ada dalam jawatankuasa yang telah pun disebutkan tadi ada termasuk kemungkinan iaitu kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan?

“Ini adalah untuk memperjelaskan kuasa-kuasa negeri untuk menggubal Undang-undang Jenayah Islam seperti yang ada pada hari ini,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu penting supaya tidak timbul lagi isu pertindihan dengan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan Undang-undang Jenayah.

“Jika ya, saya nak tahu agak bila? Jika tidak, kenapa?” soalnya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah status dan perkembangan terkini mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang untuk mengkaji kes Nik Elin serta Jawatankuasa bagi mengkaji isu berhubung kalimah Allah.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr Zulkifli Hasan dalam jawapannya berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan untuk menyelesaikan dan memberikan cadangan penyelesaian terhadap sekurang-kurangnya tiga perkara.

Tiga perkara itu, kata beliau, ialah yang pertama kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal Undang-undang Islam; yang kedua bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Butiran 1 Senarai Dua Senarai Negeri Jadual ke 9 Perlembagaan Persekutuan dan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah 22 kali bersidang, ada banyak perkara yang telah pun diperbincangkan. Untuk makluman Dewan yang mulia, buat pertama kalinya Jawatankuasa Khas ini akan membincangkan semua isu-isu yang berkaitan.

“Bukan sahaja berkenaan dengan isu bertindihan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah tetapi isu-isu yang berkaitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -