Suhakam diminta cakna mangsa tambakan laut

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) digesa agar memainkan peranan dalam membantu rakyat yang terkesan dengan projek tambakan laut.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, kesan terhadap penduduk itu terkandung dalam hak untuk hidup, kesihatan, pembangunan, perumahan, air dan makanan.

“Projek penambakan laut di Melaka telah memberikan kesan yang buruk kepada komuniti nelayan dan pemegang taruh lainnya yang bergantung kepada laut sebagai sumber makanan dan sumber pendapatan khususnya di sepanjang Pantai Klebang, Tanjung Keling dan Pantai Putri.

“Projek ini bukan sahaja merosakkan ekosistem biological system, tempat pembiakan ikan, perubahan aliran arus laut yang menyebabkan berlakunya hakisan pantai yang semakin membimbangkan,” ujarnya.

Bahkan, menurutnya, ia telah menyebabkan kawasan penangkapan ikan dan hasil laut menjadi kecil dan berkonflik dengan pelabuhan dan kapal-kapal yang berlabuh di sekitar pelabuhan Tanjung Beruas dan Pelabuhan Petronas.

Beliau menyatakan perkara itu semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, dalam masa lima tahun jumlah tangkapan ikan semakin berkurang sebanyak 43 peratus walaupun bilangan nelayan meningkat.

“Data menunjukkan tangkapan ikan pada tahun 2018 sebanyak 410,000 kilogram dan berkurang kepada 226,000 kilogram pada tahun 2020,” katanya.

Tambah beliau, kemusnahan ekosistem dan konflik antara nelayan, pelabuhan dan kapal-kapal akan jadi lebih runcing lagi, apabila satu lagi projek di bawah Strait Melaka Waterfront Economic Zone atau SMWEZ dilaksanakan tidak berapa lama lagi.

Katanya lagi, walaupun ada perancangan kerajaan negeri untuk meletakkan tukun bagi pembiakan ikan tetapi ianya mengambil masa yang lama.

Tambahnya kesan dari pengorekan dan penimbunan pasir dan pencemaran minyak daripada kapal-kapal akan menyebabkan ikan-ikan berhijrah ke kawasan yang lain.

“Selama ini hanya NGO-NGO sahaja yang menunjukkan kesungguhan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Sudah sampai waktunya Suhakam turut mainkan peranan dalam membantu menyelesaikan isu ini kerana ia jelas menjejaskan hak asasi manusia dari segi alam sekitar yang sihat bersih dan lestari,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -