‘Sendiri reka dakwaan, lepas itu sendiri percaya’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, setakat ini belum ada perancangan dari pihaknya untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau pelancongan Islam.

- Advertisement -

“Walaupun Langkawi hak Kedah dan kita namakan Permata Kedah dan kita boleh buat apa yang kita suka tapi kita tak pernah sebut nak jadikannya pulau pelancongan Islam. Siapa nak mai (datang) pun boleh.

“Punca yang kata tu dari DAP. Dia kata kita tak bagi pelancong pakai seluar pendek. Menteri Pelancongan pun sama, kata begitu. Benda tu semua tak betul.

Depa (mereka) reka, depa percaya. Depa reka benda bohong, kemudian depa percaya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis raikan pelajar terbaik KAFA, SPM, STAM dan Sijil Tahfiz Malaysia, di Wisma Darul Aman, semalam.

Tegas Sanusi, sewajarnya semua pihak mengambil peranan dan tanggungjawab kerana Langkawi merupakan antara 10 pulau terbaik di dunia dan bukan sahaja pintu masuk negeri tetapi juga negara.

Malah katanya, Langkawi membawa pulangan sektor pelancongan berbilion ringgit kepada negara.

“Jadi pakat jagalah sama-sama. Langkawi bukan untuk orang Islam saja tetapi kita ‘open’ kepada semua. Mailah (marilah) siapapun,” tambahnya.

Sementara, berhubung masalah sampah di persisiran pantai di Pulau Lagenda itu, katanya ia perlu diambil tanggungjawab oleh pihak yang menjaga perairan laut tidak kira sama ada agensi Kerajaan Negeri mahupun Pusat.

“Takkan nak suruh E-Idaman pi sauk sampah di laut, tugasan ini tanggungjawab pihak yang menjaga perairan laut. Sampah-sampah itu sebenarnya di bawa arus laut seperti di Pulau Songsong.

“Sampah-sampah dan botol yang hanyut datang dari Siam (Thailand), botol air mineral Siam warna putih. Ada juga botol-botol macam tu pergi ke sana (Langkawi),” kata beliau lagi.

Namun ujarnya, perkara yang lebih besar di Langkawi ini adalah isu penempatan di Bukit Malut yang kini mula memasuki kawasan laut.

Katanya, di laut tiada longkang dan tong sampah dan pastinya ia akan dibuang begitu sahaja ke laut.

Justeru beliau mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat segerakan penempatan baharu penduduk Bukit Malut ini agar masalah seumpama itu dapat diatasi. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -