RM40,000 tangani masalah parkir bot di Jeti Marang

Razali dalam rangka Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu di Pulau Kapas, Terengganu. (FOTO: UPDI)
- Advertisement -

MARANG: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sumbangan sebanyak RM40,000 akan digunakan untuk mendalamkan kawasan jeti di Jeti Utama Marang.

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil dengan matlamat bagi menangani masalah parkir bot ketika air surut di kawasan jeti tersebut. 

- Advertisement -

“Usaha ini melibatkan pembersihan sisa-sisa kontraktor lama untuk memastikan kawasan jeti boleh digunakan seperti sediakala dan dapat menampung parkir bot dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini.

Menurut Razali, inisiatif itu diambil setelah pihak kerajaan negeri menerima aduan daripada pengusaha bot mengenai kesukaran untuk memarkir bot ketika air surut. 

“Melalui langkah ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan para pelancong serta pengusaha bot dapat menikmati kemudahan yang lebih baik serta lebih selamat.

“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan lagi kemudahan serta keselamatan bagi para pengusaha bot dan pelancong yang berkunjung ke destinasi popular tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Peniaga Pulau Kapas dan Pulau Gemia Marang, Zakaria Sulong berkata, ketika  air surut, bot terpaksa diikat di floating jeti kerana bot tidak boleh disimpan di tempat yang sepatutnya.

“Masalah ini menyebabkan kesulitan kepada pengusaha bot, terutama ketika waktu puncak pelancong.

“Usaha mendalamkan jeti ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan memudahkan urusan pengusaha bot,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -