NTW 2024: Minggu kesedaran latihan besar-besaran di Terengganu

Program latihan secara percuma diberikan kepada golongan pelajar sekolah dalam program NRW 2024 peringkat negeri Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hampir 1,000 peserta warga Terengganu menyertai Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) peringkat negeri yang diadakan selama seminggu bermula 24 Jun lalu.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, NTW merupakan minggu kesedaran latihan besar-besaran yang menghimpunkan pelbagai pihak, organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri.

“Ini bagi mewujudkan peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran yang lebih luas menerusi penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti latihan yang meliputi pelbagai topik dan bidang kemahiran secara percuma oleh organisasi Malaysia untuk rakyat Malaysia.

“TDM turut mengambil peluang menjayakan NTW 2024 dengan pengisian program Integrated Pest Management In Oil Palm Plantation, Pengenalan Hospital Mesra Ibadah dan TDM’s Knowledge Sharing Carnival: NTW24’s 5 Pillars,” katanya. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini.

Majlis Karnival NTW 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Huzaimi Hussin. 

Beliau berkata, program kerjasama TDM dan HRD Corp tahun ini memberi tumpuan yang lebih besar kepada program latihan percuma melalui penekanan terhadap lima teras.

“Lima teras iaitu Kemahiran hidup (Teras 1), Kemahiran Masa Depan (Teras 2), Kreativiti dan Inovasi (Teras 3), Kewangan (Teras 4) dan Pembangunan Mampan (Teras 5),” katanya.

Beliau berkata, penyertaan terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, universiti, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan pemain industri secara percuma.

Najman ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur.

“Peluang kolaborasi ini kami sambut secara positif kerana misi serta objektif kami untuk kebajikan komuniti dalam pembangunan modal insan untuk memberikan akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan percuma khasnya rakyat Terengganu. 

“Perkongsian ilmu yang bermanfaat ini juga merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam usaha menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat. 

“Melalui program ini, kita dapat lihat betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat dalam menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Najman berkata, TDM juga sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri serta program-program kerajaan terutamanya yang memberi impak besar kepada pemahaman, pengamalan dan penghayatan rakyat. 

“Ini dapat dilihat melalui inisiatif Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 melalui pelan tindakan teras strategik tiga iaitu pengukuhan pembangunan insan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -