Masalah air tidak selesai, umum projek baharu pula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masalah bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sudah enam tahun berlarutan, namun ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerajaan mengumumkan projek baharu pula.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah mentadbir Pulau Pinang sejak tahun 2008.

Namun, katanya masalah bekalan air khususnya di Sungai Bakap tidak selesai sehingga sekarang.

“Malah DUN terbabit pernah tiga penggal diwakili ADUN PKR, namun masalah bekalan air tidak diselesaikan,” katanya pada kenyataan di laman sosial.

Menurutnya juga sebelum ini penduduk di Sungai Bakap tidak menghadapi masalah bekalan air kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil air bersih dan terawat di Kedah.

Kata beliau, penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap mendapat sumber air dari Sungai Kerian yang didaratkan melalui paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kedah.

Bagaimanapun, katanya selepas projek menaik taraf loji Lubuk Buntar dibuat sumber air terawat dari SADA dihentikan.

“Air dari Loji Rawatan Air Lubok Buntar diambil dari Sungai Kerian yang diproses untuk manfaat penduduk berdekatan tanpa kira sempadan negeri.

“Kesan langsung PBAPP terpaksa mengambil air dari Sungai Muda melalui Loji Rawatan Air Sungai Dua dihantar melalui paip ke kawasan paling hujung di Mukim 5 Sungai Bakap.

“Air Sungai Muda yang dirawat disalur melalui Batu Kawan, BKIP dan Jawi terlebih dahulu. Penduduk Mukim 5 Sungai Bakap yang berada di hujung paip berdepan dengan masalah tekanan rendah,” ujarnya.

Zikrullah juga berkata, isu paip kecil usang berdepan dengan risiko pecah apabila tekanan pam dinaikkan.

Kata beliau, gangguan bekalan air di Sungai Bakap berlarutan sehingga sekarang yang gagal diselesaikan pihak berkuasa negeri.

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan peruntukan hampir RM18 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan infrastruktur awam di Seberang Perai.

Malah kerajaan PH turut pengumuman peruntukan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di kawasan Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -