MAHB aset strategik negara, jangan samakan pelaburan biasa

Dato' Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengingatkan semua pihak bahawa Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) bukan aset biasa.

- Advertisement -

Tegas beliau, syarikat tersebut adalah satu aset strategik negara yang tidak boleh disamakan dengan pelaburan-pelaburan di syarikat biasa.

“Lapangan terbang negara yang dimiliki MAHB bukan aset yang biasa boleh kita jual sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

“Ia adalah satu aset strategik yang menuntut semua pihak-pihak yang di atas di peringkat kerajaan,” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memetik kata-kata mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar baru-baru ini yang menegaskan bahawa MAHB bukan seperti restoran atau supermarket.

“Mereka banding pelaburan dalam Intel dan sebagainya sama dengan pelaburan yang ini. Itu pelaburan biasa. Ini aset strategik negara,” ujarnya.

Katanya, walaupun dikatakan mungkin GIP-BlackRock mempunyai kepakaran teknikal yang tidak dimiliki syarikat milik negara, namun harus diingat bahawa BlackRock memiliki saham yang agak besar di dalam syarikat senjata berkaitan Israel.

Ku Abdul Rahman juga meminta supaya Menteri MITI menjelaskan sama ada keputusan membawa masuk GIP-Blackrock ke dalam MAHB dibincangkan di dalam Kabinet atau tidak.

Menteri MITI, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapannya berkata bahawa keputusan tentang pemilikan saham MAHB oleh BlackRock itu dibuat oleh Khazanah sendiri.

“Memang keputusan itu dibuat di peringkat Khazanah. Jadi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri hanya dimaklumkan semasa mesyuarat kabinet oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024