Kembali dari Makkah seorang diri tanpa suami

- Advertisement -

KOTA BHARU: Impian jemaah haji Allahyarham Abd Wahab Ramli, 60, ingin meninggal dunia di Tanah Suci Makkah tercapai apabila pesara guru itu menghembus nafas terakhir di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah akibat kanser periampullary.

- Advertisement -

Isteri arwah Noraini Mat Sari, 59, berkata, suaminya meninggal dunia pada jam 4.38 petang Selasa lalu.

“Sebelum itu arwah dimasukkan ke Pusat Rawatan TH Syisyah lima hari sebelum wukuf.

“Disebabkan keadaan kesihatan arwah tidak mengizinkan memaksa arwah melakukan Safari Wukuf,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keseng dekat sini, hari ini.

Terdahulu keluarga terbabit dikunjungi Pemangku Pengarah TH Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai sambil menyampaikan sumbangan khairat kematian serta mengadakan tahlil. (Foto atas)

Noraini berkata, selepas beberapa hari arwah dirawat dan dibenarkan keluar dari pusat perubatan berkenaan.

“Saya meminta kebenaran pihak pengurusan Tabung Haji untuk diletakkan sebilik bersama arwah disebabkan kesihatannya semakin merosot.

“Alhamdulillah saya bersyukur, pihak TH membenarkan kami tinggal sebilik dan saya sempat berbakti kepadanya sebelum arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital,” katanya.

Kata beliau suaminya disahkan menghidap kanser periampullary tahap empat sejak Februari lalu dan keadaan kesihatannya tidak menentu.

“Ketika kami mendapat panggilan menunaikan haji selepas 15 tahun menanti, arwah paling gembira dan sanggup mengetepikan sakit demi menunaikan Rukun Islam kelima.

“Kami berangkat menunaikan haji pada 10 Mei lalu. Ketika itu kesihatan arwah berada dalam keadaan baik dan sepatutnya pulang hari ini selepas 49 hari berada di sana,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia di antara 24 hingga 33 tahun itu berkata, beliau dan keluarga reda dengan pemergian arwah.

Menurutnya sepanjang berada di Tanah Suci beliau tidak putus-putus berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar mematikan sel kanser yang dihidapi arwah suami.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ie, Makkah pada Selasa dan jenazahnya disolat berjuta umat Islam di Masjidil Haram.

“Hari ini saya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) seorang diri tanpa ditemani arwah suami di sisi,” katanya sambil menahan sebak.

Noraini yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada TH serta petugas yang memudahkan urusan arwah termasuk proses pengebumian.

Sementara itu, Rosli berkata, kematian Allahyarham Abd Wahab merupakan jemaah yang kedua dari Kelantan selepas seorang lagi jemaah perempuan berusia 54 tahun meninggal dunia di Makkah 19 Jun lalu.

Katanya pada musim haji kali ini terdapat seramai 2,400 jemaah haji dari Kelantan membabitkan 13 penerbangan.

“Lima daripada 13 penerbangan yang membawa jemaah haji sudah selamat tiba di tanah air dan penerbangan terakhir jemaah dari Kelantan dijangka tiba pada 2 Julai ini,” katanya.

Beliau juga berkata, jemaah yang meninggal dunia di Makkah semua pengurusan jenazah dilaksanakan petugas Tabung Haji.

“Terdapat skim takaful berkelompok disediakan Tabung Haji, di mana segala kos pengebumian akan ditanggung pihak kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -